Manchester United tewaskan Liverpool di Bangkok

in Sukan by

PENGENDALI baharu Manchester United, Erik ten Hag membuktikan keseriusan mengembalikan semula kegemilangan The Red Devils apabila membelasah seteru tradisi liga Inggeris, Liverpool 4-0 dalam perlawanan persahabatan pramusim di Bangkok pada Selasa.

Malah tanpa kelibat bintang sensasi The Red Devils, Cristiano Ronaldo yang tidak mengikuti siri jelajah kali ini, jelas sekali tidak mematikan selera anak buah Ten Hag melakar kemenangan bergaya ke atas angkatan Jurgen Klopp.

Babak pertama aksi di Stadium Rajamangala itu, The Red Devils memulakan pesta jaringan dengan tiga gol bermula daripada jaringan Jadon Sancho minit ke-12, Frederico Rodrigues de Paula Santos (30’) dan Anthony Martial (33’) sudah cukup menggambarkan kegarangan sebelum menuju ke bilik persalinan.

Tidak cukup dengan itu bersambung babak kedua, Facundo Pellistri menambah derita The Reds menerusi jaringan minit ke-76 bagi melengkapkan kemenangan membanggakan Manchester United ke atas Liverpool di bumi Thailand.