Tuntutan waris Sultan Sulu: Peguam Negara digesa beri penjelasan

in Nasional by

SHAH ALAM – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun digesa mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan berkenaan rampasan aset syarikat minyak negara oleh pewaris kesultanan Sulu sebagaimana yang dilaporkan Financial Times.

Laporan agensi yang berpangkalan di London itu menyatakan pewaris kesultanan Sulu telah merampas dua anak syarikat gergasi minyak Malaysia, Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Idrus perlu menjelaskan laporan tersebut termasuk empat lagi persoalan antaranya apakah langkah-langkah perundangan yang telah dan sedang diambil oleh Pejabat Peguam Negara untuk memelihara kepentingan aset dan kedaulatan negara.

Menurutnya, perlu dijelaskan juga tentang kedudukan prosiding ataupun keputusan muktamad berhubung permohonan untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol.

“Idrus perlu menjelaskan juga apakah kedudukan prosiding ataupun keputusan muktamad berhubung permohonan untuk rayuan penuh di Paris Court of Appeal terhadap Perintah Exequatur dari Tribunal de Grande Instance di Paris, Perancis yang telah mengiktiraf awad asal bidang kuasa yang yang dikeluarkan oleh timbang tara Dr Stampa pada 25 Mei 2020 (yang memihak kepada ‘waris’ Kesultanan Sulu itu).

“Adakah terdapat mana-mana prosiding pelaksanaan lanjutan dan di mana-mana bidang kuasa berlainan yang masih wujud, berkaitan awad asal bidang kuasa yang dikeluarkan oleh timbang tara tersebut (yang sepatutnya telah dibatalkan akibat perintah pembatalan oleh Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol pada 29 Jun 2021), yang berjumlah RM63 bilion itu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Waris kesultanan Sulu sebelum ini dilapor menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Proses timbang tara itu dimulakan sebagai tindak balas kepada tindakan Malaysia memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.

Bagaimanapun, pada Mac lalu, Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan bersama menjelaskan, Malaysia tidak mengambil bahagian dalam proses timbang tara di Perancis, dengan alasan tuntutan itu bukan bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara, malah Perjanjian 1878 sendiri tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.

Turut dinyatakan dalam kenyataan sama, pada 14 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak yang bersidang di Kota Kinabalu, membuat keputusan tidak memihak kepada pihak yang menuntut dengan memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.

Kerajaan Malaysia sendiri sudah memfailkan permohonan untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi Sabah itu di Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol.

Terbaharu, menurut laporan Financial Times itu, peguam pihak yang menuntut telah merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion bagi pihak pelanggan mereka pada hari Isnin.