Danish Aiman mahu kekal kedudukan podium

in Sukan by

KEJAYAAN menamatkan perlumbaan di kedudukan podium pada pusingan 4 Litar Permotoran Terengganu bulan lalu, menguatkan tekad pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing, Md Danish Aiman Zamrul untuk terus memburu kedudukan podium pada pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di Litar Jempol, Negeri Sembilan hujung minggu ini.

Menurut anak muda berusia 16 tahun kelahiran Terengganu itu, kejayaan di kampung halamannya bulan lalu ternyata menyemarakkan lagi semangatnya untuk beraksi dengan baik pada perlumbaan di Litar Jempol kelak.

Malah katanya, dia mahu mempertahankan kedudukan podium yang telah dimenanginya sejak pusingan 1 yang berlangsung di Litar Sepang (Utara) pada 12 hingga 13 Mac lalu.

“Saya hanya mahu mengekalkan kedudukan podium ini dan bagi perlumbaan di Jempol, sudah pasti saya akan cuba buat yang terbaik.

“Apa pun, kejayaan di pusingan 4 merupakan rezeki saya di kampung halaman sendiri di mana saya hanya memberikan sepenuh tumpuan bagi mengekalkan momentum di setiap lap.

“Selain itu saya juga sudah biasa berlatih di Litar Terengganu dan mungkin ia berikan kelebihan kepada saya,” katanya.

Untuk rekod, sejak pusingan 1 di sepang Mac lalu, Md Danish Aiman berjaya mengekalkan kedudukan podium pada pusingan 2 di Litar Lumba Tangkak, Johor pada 14 hingga 15 Mei dan pusingan 3 di Litar Sepang pada 11 hingga 12 Jun lalu.

Sementara itu menurut pemilik pasukan Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing, K Sivanesan menyifatkan kejayaan Md Danish Aiman itu sebagai satu kejayaan yang membanggakan.

Malah kejayaan pelumba berkenaan diharap berterusan dan sekali gus membantu mengekalkan kedudukan podium bagi pasukan berkenaan.

“Litar Terengganu merupakan satu cabaran lebih-lebih lagi dengan keadaan litar yang basah, tetapi ia berjaya diatasi Md Danish Aiman.

“Oleh itu, kita juga telah berikan taklimat kepadanya dan berharap satu lagi kejayaan dilakar hujung minggu ini,” katanya.