Isu rampasan dua aset Petronas jadi tumpuan

in Analisis Sinar by

LAPORAN dua anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus dirampas waris kesultanan Sulu menjadi tumpuan pada Selasa dan mencetuskan reaksi pelbagai pihak.

Menurut laporan Financial Times yang berpangkalan di London, waris kesultanan Sulu yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia itu merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg yang mencecah lebih AS$2 bilion.

Peguam pihak yang menuntut dilapor berkata, rampasan berkenaan adalah bagi pihak pelanggan mereka, juga sebagai sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh waris kesultanan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Perkara itu menimbulkan kekeliruan kerana Pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu adalah tidak sah kerana tidak berlandaskan undang-undang.

Susulan itu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, didesak memberikan penjelasan yang sewajarnya.

Bagaimanapun, menjawab desakan yang ditimbulkan, Idrus dilapor hanya memberi maklum balas ringkas bahawa kes berkenaan dalam penelitian pihaknya.

“AGC (Jabatan Peguam Negara) telah dimaklumkan dan sedang meneliti perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama juga, satu usul tergempar berhubung isu berkenaan telah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Usul berkenaan dihantar oleh Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mahu perkara itu dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dibahaskan di Parlimen.

Namun, kenyataan rasmi dikeluarkan Petronas malam Selasa mengendurkan sedikit ketegangan isu yang dibangkitkan apabila syarikat minyak gergasi negara itu menjejaskan bahawa aset yang dikatakan dirampas itu telah dilupuskan sebelum ini.

Bagaimanapun Petronas juga mengesahkan kedua-dua anak syarikatnya menerima notis ‘Saisie-arret’ pada Isnin sekaligus menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak berasas.

“Kami mengesahkan bahawa kedua-dua anak syarikat dalam laporan ini telah menerima notis ‘Saisie-arret’ pada 11 Julai 2022.

“Petronas ingin menjelaskan kedua-dua anak syarikat ini, PETRONAS Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan PETRONAS South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telah dipulangkan dengan sewajarnya.

“Petronas menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahan kedudukan Petronas dari segi undang-undang dalam hal ini,”katanya dalam kenyataan dilaporkan pada Selasa.

Meskipun begitu, isu tersebut dijangka akan terus menjadi tumpuan dan perdebatan hari ini.

Penjelasan terperinci daripada Jabatan Peguam Negara juga pasti dinanti-nantikan.