Jovic mula pamer bisa

in Sukan by

PENYERANG Serbia, Luka Jovic memberi bayangan bahawa dia mungkin pemain yang perlu diberikan perhatian dalam saingan Serie A musim ini apabila meledak empat gol ketika membantu Fiorentina menewaskan Real Vicenza pada aksi pra-musim, Isnin lalu.

Lebih mengagumkan, kesemua gol berkenaan dijaringkan oleh bekas penyerang Real Madrid itu dalam tempoh 28 minit pada aksi pra-musim berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, Jovic berkata, ia satu permulaan yang baik buatnya bersama kelab baharuya Fiorentina.

Justeru katanya, dia berazam untuk terus menjaringkan gol bagi membantu skuad yang terkenal dengan gelaran Viola itu melakar lebih banyak kejayaan musim ini.

“Saya tekad untuk menjaringkan lebih banyak gol selepas ini dan sekali gus membantu kejayaan Fiorentina.

“Mungkin aksi pra-musim satu permulaan, tetapi ia nyata memberikan semangat buat saya untuk terus memberikan yang terbaik selepas ini,” katanya.

Untuk rekod, Jovic sekadar menjaringkan dua gol sejak menyertai Madrid dari Entracht Frankfurt pada 2019.

Biarpun meledak 27 gol ketika beraksi dengan skuad Bundesliga itu pada musim 2018/19 lalu, Jovic dilihat bergelut untuk berbuat demikian di Santiago Bernabeu hingga menyaksikannya menyertai semula Frankfurt secara pinjaman bagi musim 2020/21 lalu sebelum akhirnya dilepaskan Madrid.

Mengulas lanjut, Jovic berkata, dia enggan memikirkan mengenai kisah lalu dan berazam untuk memulakan perjalanan baharu bersama Fiorentina musim ini.

“Banyak perkara telah berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, saya yakin saya boleh jadi yang lebih baik.

“Saya bertekad untuk membantu Fiorentina dan diharapkan agar semua perancangan saya berjalan lancar,” katanya.