MAFI pergiat promosi MAHA 2022

in Nasional by

PUTRAJAYA – Menjelang penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terus mempergiatkan aktiviti promosi.

Terbaharu, program ‘Street Attack’ dianjurkan di pekarangan Wisma Tani bagi mempromosikan Larian MAHA 2022 yang berlangsung pada 23 Julai ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, pelbagai aktiviti promosi lain turut diatur di seluruh negara, antaranya Street Attack Zon Sabah dan Sarawak, aktiviti berbasikal dari Bachok ke Kota Bharu Kelantan, konvoi menunggang vespa bersama media dari Pontian ke Plaza Angsana dan pelepasan iklan Mass Rapid bagi iklan serta publisiti MAHA.

“Kita tahu MAHA kali ini ditunggu-tunggu selepas empat tahun tiada penganjuran akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Menurutnya, kementerian mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan penyebaran jangkitan Covid-19 tidak berlaku.

“Kapasiti lokasi tetap MAHA di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sebenarnya adalah tiga juga namun kita hadkan kepada satu juta pengunjung sepanjang 11 hari penganjurannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Street Attack di Wisma Tani dekat sini, pada Rabu.

Beliau berkata, sekiranya perlu kementerian akan memperlahankan prosedur operasi standard (SOP) khusus sebagai langkah berjaga-jaga.

“Jawatankuasa Kerja MAHA yang dipengerusikan saya akan bermesyuarat Jumaat bagi melihat keperluan dan perkembangan kerja-kerja MAHA,” katanya.

Badrul berkata, seiring dengan perkembangan semasa, MAHA mengetengahkan kepentingan industri makanan selaras dengan temanya ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’.

“Kita tidak lari daripada usaha MAFI untuk memberikan jaminan bekalan makanan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Ujarnya, antara kelainan pada MAHA 2022 adalah penglibatan semua kementerian.

“Semua menteri akan ada di MAHA setiap hari mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya.

MAHA 2022 dijadual berlangsung pada 4 hingga 14 Ogos dengan jangkaan 100,000 pengunjung setiap hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan merasmikan ekspo tersebut pada 6 Ogos sempena Sambutan Hari Peladang.