Orang ramai teruja saksi fenomena ‘Supermoon’

in Edisi by

KUALA LUMPUR – Orang ramai teruja melihat fenomena ‘Supermoon’ yang mula muncul di langit Malaysia pada Rabu.

Tinjauan mendapati, orang ramai dilihat sudah mula memenuhi di kawasan Bukit Tunku, di sini pada jam 5.40 petang bagi melihat fenomena tersebut.

Salah seorang pengunjung, Cithra Balakrishnan, 32, berkata, dia berasa teruja kerana dapat menyaksikan fenomena berkenaan bersama anak-anaknya.

Menurutnya, dia tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena itu kerana sebelum ini hanya lihat melalui internet dan media sosial sahaja.

“Sebelum datang, saya cari lokasi strategik untuk lihat Supermoon ini dalam internet.

“Jadi sebab itu saya bawa anak-anak datang sini dan tak sangka sini ramai orang,” katanya.

Sementara itu, perunding teknologi maklumat, Wilson Wong, 29, berkata, dia dan rakannya datang awal bagi memastikan mereka dapat tempat yang bagus bagi merakam fenomena supermoon.

“Dalam media sosial, mereka cakap jam 5 petang Supermoon muncul tetapi sebenarnya kawan-kawan lain beritahu kira-kira jam 7 petang.

“Kami datang selepas habis bekerja, namun kawasan ini sudah dipenuhi orang ramai,” jelasnya.