Centaurus pula mengganas

in Koronavirus by

AMSTERDAM – Pakar virologi kini menyuarakan kebimbangan terhadap kemunculan satu lagi varian Omicron yang didakwa menular dengan lebih cepat selepas Belanda menjadi negara terbaharu mengesan subvarian tersebut yang digelar ‘Centaurus’.

“Ia telah dikenal pasti di Amsterdam,” kata Institut Kesihatan Awam Kebangsaan Belanda dalam satu kenyataan.

Ketika ini, sebahagian saintis khuatir jika ‘Centaurus’ atau subvarian B.A.2.75 tersebut ‘lebih kebal’ hingga menjejaskan keberkesanan vaksin sedia ada.

Namun, masih belum terdapat bukti jelas ia menyebabkan penyakit lebih serius berbanding versi asal Omicron.

“Hanya sedikit yang diketahui tentang BA.2.75 walaupun ia dipercayai dapat menembusi ‘pertahanan’ sedia ada terhadap SARS-CoV-2 melalui perubahan kecil dan spesifik,” kata pakar terkemuka Covid-19.

Minggu lalu, Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Soumya Swaminathan mengesahkan mereka sedang mengawasi strain tersebut dengan teliti, namun terdapat urutan terhad untuk dianalisis.

“Subvaian ini nampaknya mengalami beberapa mutasi dan kita perlu memantau perkembangannya. Masih terlalu awal untuk menentukan ia boleh menangkis imuniti dan tahap keterukannya,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Institut Kesihatan Global di Universiti Geneva, Antoine Flahault berkata, penularannya di India mungkin menunjukkan ia lebih mudah merebak berbanding subvarian BA.5 yang telah memacu gelombang kes jangkitan di Eropah dan AS.

“Ia telah menjadi strain dominan di India. Persoalannya, adakah ia berupaya menjadi varian dominan di seluruh dunia?” ujarnya lagi sambil merujuk kepada varian Delta yang pada mulanya menjadi dominan di negara Asia Selatan tersebut sebelum merebak secara meluas ke negara lain. – Agensi

Info:

– Subvarian, BA.2.75 pertama kali dikesan di India pada Mei lalu dan telah merebak ke kira-kira 10 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, Jerman dan Australia.

– Penularannya lebih pantas berbanding varian BA.5 dan kini menggantikan BA.2 yang menjadi varian dominan di kebanyakan negara.

– Pada 7 Julai lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) mentakrifkan ia sebagai ‘varian dalam pemantauan’, mungkin lebih mudah berjangkit atau dikaitkan dengan penyakit lebih teruk, namun belum ada bukti kukuh dapat menyokongnya.