Covid-19: Ubat Paxlovid elak jangkitan lebih teruk

in Koronavirus by

SHAH ALAM – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan bahawa ubat antiviral Paxlovid mampu mengelakkan jangkitan Covid-19 daripada menjadi lebih teruk.

Ujar beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menawarkan ubat Paxlovid bagi pesakit berisiko tinggi kategori dua dan tiga.

“Sehingga 3 Julai, seramai 4001 pesakit telah diberi ubat Paxlovid dan tiada yang mengalami kesan sampingan yang serius.

“Sejak Jun lepas penggunaan Paxlovid ini telah diperluaskan ke fasiliti swasta supaya lebih mudah didapati dan dapat digunakan untuk lebih ramai pesakit Covid-19,” katanya dalam perkongsian video melalui ciapan di akaun Twitter rasminya pada Jumaat.

Selain itu, beliau berkata, pesakit yang berisiko tinggi dan mengalami gejala ringan hingga sederhana yang ingin mendapatkan ubat Paxlovid, perlu membuat penilaian di klinik kesihatan atau hospital terpilih.

“Jika layak mengikuti kriteria yang ditetapkan, mereka akan diberi ubat Paxlovid untuk merawat jangkitan.

“Senarai fasiliti kesihatan yang membekalkan ubat ini boleh didapati di covid-19.moh.gov.com.my,” ujarnya.