Kekurangan produk farmaseutikal dijangka kembali normal

in Bisnes by

ISU kekurangan produk-produk farmaseutikal di pasaran dijangka kembali normal menjelang akhir Julai ini, kata Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Bhd, Mohamed Iqbal Abdul Rahman.

Menurutnya, kekurangan itu disebabkan oleh peningkatan permintaan yang berlipat ganda dan syarikat-syarikat terbabit memerlukan masa untuk mendapatkan bahan mentah selain melakukan usaha pengeluaran.

“Kami telah meningkatkan pengeluaran dan melihat keadaan dijangka kembali normal sedikit menjelang akhir bulan ini manakala beberapa produk lain pada penghujung Ogos,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian memorandum kerjasama (MoC) dengan firma China, Suzhou Ronnsi Pharma Co Ltd, di sini, pada Jumaat.

Menjelaskan selanjutnya, Mohamed Iqbal berkata, stok perubatan itu telah merosot secara ketara pada akhir suku pertama tahun ini apabila kes COVID-19 melonjak kepada 30,000 kes di Malaysia.

“Keperluan penambahan semula itu berlaku pada April dan lonjakan kes pada April, Mei dan Jun yang menyaksikan jumlah permintaan terbesar,” katanya.

Bagaimanapun, kumpulan tersebut sentiasa mencari jalan alternatif bagi memastikan gangguan bekalan yang minimum, katanya.

“Kami turut mengadakan beberapa perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penyelesaian bagi mengurus kekurangan perubatan di negara ini.

“Kerajaan mempunyai stok parasetamol yang mencukupi dan terdapat rancangan untuk mengalihkan stok itu ke pasaran swasta menerusi Pharmaniaga,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamed Iqbal menggesa orang ramai agar mengelak daripada melakukan pembelian panik, terutama bagi parasetamol berikutan stok yang akan kembali normal tidak lama lagi.

Media sebelum ini melaporkan mengenai isu kekurangan bekalan perubatan dan bahan mentah bagi penghasilan produk-produk farmaseutikal akibat lonjakan permintaan pasca-Covid-19 selain susulan pembukaan semula aktiviti ekonomi.

Sementara itu, mengulas laporan media mengenai rangka kerja pendaftaran beberapa produk kanabidiol atau CBD (antara kandungan aktif dalam pokok kanabis), Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, kumpulan itu akan bertindak secara berhati-hati mengikut ketetapan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pada masa sama, kami sedang mencari rakan teknologi sesuai bagi pendaftaran ubat berkenaan. Ada juga beberapa syarikat yang menghubungi kami bagi membincangkan usaha pembangunan CBD tersebut,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, KKM menyasarkan bagi melaksanakan pendaftaran beberapa produk CBD pada 2023. – Bernama