Soon Huat-Shevon Lai ke separuh akhir Terbuka Singapura

in Sukan by

BEREGU campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mara ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Singapura 2022 pada Jumaat.

Bagaimanapun, gandingan negara itu terpaksa bermandi peluh apabila diheret bermain dalam perlawanan penentuan sebelum mengesahkan kemenangan 22-20, 16-21, 21-18 dalam 54 minit pertarungan, menewaskan pasangan ketujuh dunia Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong.

“Saya mahu berikan kredit buat pasangan. Secara peribadinya, saya sangat gementar sepanjang perlawanan terutama apabila lawan sentiasa mendahului kami.

“Soon Huat berjaya bertahan, mengawal dan membawa saya kembali untuk lebih yakin dalam perlawanan,” kata Shevon.

Pasangan negara itu akan berdepan juara dunia Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand pada separuh akhir esok.

“Kita pernah lawan mereka lebih daripada 10 kali. Kita agak biasa dengan corak permainan masing-masing. Namun, ia bergantung kepada keadaan kita dalam gelanggang pada hari perlawanan,” katanya.

Dechapol-Sapsiree mara ke separuh akhir selepas mengenepikan pasangan negara Chen Tang Jie-Valeree Siow 21-10, 22-20 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Satu lagi pasangan negara Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei ditunjukkan jalan keluar apabila tewas kepada pasangan China Gua Xin Ma-Zhang Shu Xian 21-16, 21-14.

“Kami lakukan banyak kesilapan,” kata Ee Wei.

Pang Ron juga mengakui mereka banyak memberikan mata mudah kepada lawan dan tekad untuk menukar corak permainan ketika dalam gelanggang pada masa depan.

“Mereka mengkaji permainan kami dan mempelbagaikan corak permainan mereka. Bulu tangkis terlalu pantas dan lawan banyak bermain pukulan rendah,” katanya. – Bernama