Tuding-menuding tidak selesai masalah

in Lidah Pengarang by

BEKAS Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir baru-baru ini menafikan dakwaan kerajaan negeri pimpinannya sebelum ini mempunyai kaitan dengan projek ladang durian musang king di Gunung Inas, yang dikaitkan punca banjir.

Mukhriz sebaliknya mendakwa penebangan dilakukan di hutan simpan oleh kerajaan negeri pimpinan Pas di Kedah sekitar tahun 2008 hingga 2013.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan, kawasan itu diteroka ketika Mukhriz menjadi Menteri Besar antara tahun 2018 dan 2019.

Selepas lebih seminggu, Mukhriz sekali lagi bersuara dan mendakwa projek penanaman durian tersebut diluluskan ketika pentadbiran Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Lain pula kes di Selangor apabila baru-baru ini, bekas Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo mendakwa Stadium Shah Alam mula mengalami masalah untuk diselenggara selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri disebabkan peruntukan penyelenggaraannya dipotong.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kemudian menafikan, sebaliknya mendakwa kerosakan dialami stadium berkenaan sudah berlarutan sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Dalam dua kes ini, bukanlah untuk mencari siapa salah, siapa betul.

Cuma, rakyat sudah bosan apabila masing-masing sibuk menghentam sesama sendiri, akhirnya masalah yang timbul tidak diberikan perhatian dan gagal diselesaikan.

Budaya tuding-menuding jari ini sebenarnya berlaku di sekeliling kita.

Di tempat kerja, pekerja menyalahkan pekerja lain apabila dia ditegur bos kerana silap membuat tugasan. Di rumah pun berlaku, adik-beradik menyalahkan satu sama lain apabila dimarahi emak selepas terpecahkan pasu bunga.

Sikap tuding-menuding dalam politik juga bukan perkara baharu.

Sebelum ini banyak berlaku apabila pemimpin daripada parti A yang dikritik menyalahkan pemimpin terdahulu daripada parti B. Kemudian berlaku drama ‘berbalas pantun’ apabila parti B menyalahkan parti A pula.

Adalah lebih baik jika berlaku apa-apa masalah melibatkan rakyat, walau parti mana sekali pun yang melakukannya, pihak yang mempunyai kuasa cari jalan penyelesaian terbaik.

Kalau perlu menubuhkan jawatankuasa siasatan, buatlah. Libatkan sama golongan pakar dan pemimpin pembangkang.

Kalau masih sibuk saling menyalahkan, sampai bila-bila pun masalah tak akan selesai.