Tuntutan waris Sultan Sulu hanyalah permulaan

in Analisis Sinar by

ISU tuntutan melibatkan Sabah kembali hangat dibincangkan apabila pada Selasa, negara dikejutkan dengan laporan mengenai dua aset anak syarikat minyak milik Petroliam Nasional Bhd atau Petronas dirampas oleh waris Kesultanan Sulu.

Isu itu bukanlah berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya rampasan itu dilaporkan sebahagian daripada perintah tuntutan dikeluarkan penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa awal tahun ini di Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis yang mengarahkan Malaysia membayar sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris sultan itu.

Mereka yang dipercayai waris Sultan Sulu menuntut jumlah besar dalam proses timbang tara berikutan langkah Malaysia menghentikan pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada waris Kesultanan Sulu sejak 2013.

Lalu timbul persoalan berhubung bagaimana Malaysia menangani perkara itu sehingga pihak terlibat kembali membangkitkan isu tersebut.

Sedangkan pada Mac, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan akan mencabar arahan bayaran pampasan yang diputuskan oleh penimbang tara Sepanyol kepada waris Kesultanan Sulu.

Kerajaan juga pernah membuat kenyataan sebelum ini untuk tidak mengiktiraf tuntutan dibuat pihak terlibat.Bagaimanapun, nampaknya ia dibalas dengan ‘main kasar’ oleh waris Sultan Sulu.

Isu waris Sultan Sulu ini sekadar menghangatkan semula satu lagi isu berkaitan iaitu tuntutan Filipina ke atas Sabah. Ini kerana pertikaian siapa berhak memiliki Sabah sehingga kini dilihat masih belum selesai bagi pihak Filipina.

Berbeza dengan Malaysia, isu tersebut dianggap berakhir apabila rakyat Sabah pada tahun 1963 memilih untuk membentuk Malaysia berbanding menjadi sebahagian daripada Filipina.

Mungkin dalam hal ini Filipina kurang sedar atau enggan menghormati kehendak rakyat Sabah atau sengaja tidak mahu mengiktiraf kedudukan Sabah.

Filipina juga dilihat seolah-olah menjadikan tuntutan ke atas Sabah sebagai bermotifkan politik apatah lagi tuntutan terhadap Sabah sering kali menjadi topik utama dalam pilihan raya di negara terbabit.

Keadaan itu sudah tentu memberi ancaman berterusan ke atas kedaulatan Sabah sehinggakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Februari lalu mengarahkan polis meningkatkan pengawasan keselamatan negeri menjelang pilihan raya presiden di negara itu.

Beliau mahu polis memantau keadaan dengan lebih rapi, memandangkan isu mengenai tuntutan ke atas Sabah sering menjadi topik hangat calon-calon presiden negara itu menjelang pilihan raya bagi meraih sokongan pengundi.

Berbalik kepada isu rampasan dua anak syarikat Petronas, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, Malaysia sebenarnya tidak berdiam diri apabila Wan Junaidi pada Selasa menjelaskan Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan kerajaan Malaysia menggantung penguatkuasaan final award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kedaulatan Malaysia.

Kesan daripada perintah penggantungan dikeluarkan itu katanya, final award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara.

Petronas pula memaklumkan pihaknya sudah pun melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya telah dipulangkan sekali gus mengendurkan ketegangan berkait isu itu yang tentunya membimbangkan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, penyelesaian terhadap isu tuntutan Filipina terhadap Sabah perlulah dilakukan secara bijaksana supaya isu yang tidak sepatutnya berbangkit tidak akan dibangkitkan pada masa depan.

Ini kerana, jika tidak diselesaikan, ia dikhuatiri boleh mengganggu keharmonian generasi akan datang.

Parlimen juga dilihat platform terbaik untuk membahaskan perkara itu apabila Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menghantar satu usul tergempar di Dewan Rakyat.

Maklumat lanjut mengenai perkara itu sudah tentu dapat diketahui secara terperinci apabila dibahaskan di Parlimen khususnya penjelasan pihak kerajaan berhubung tindakan waris Kesultanan Sulu, selain tindakan perundangan dan sebagainya berkait isu terlibat.

Sebagaimana kata peguam Norman Fernandez, isu rampasan itu hanyalah permulaan dan pihak terlibat boleh bertindak lebih jauh.

Justeru kita harap tiada lagi aset negara tergadai disebabkan kesilapan sendiri.

* W Saidatul Fadzilah W Najemudin ialah Editor Pengisian Sinar Harian