Vape bukan kaedah terbaik atasi ketagihan rokok

in Wacana by

SHAH ALAM – Amalan menghisap rokok elektronik atau vape bukan kaedah terbaik untuk mengatasi ketagihan merokok, kata Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M Murallitharan.

Beliau berkata, meskipun ada pihak yang menyifatkan vape dapat membantu perokok berhenti merokok, tetapi kajian saintifik menunjukkan sebaliknya.

“Mereka (perokok) ini akan terus mengambil nikotin, kita sebenarnya tidak mahu kesedapan nikotin terus menghantui hidup mereka.

“Kita nak mereka bebas daripada sebarang bentuk ketagihan,” katanya semasa program Wacana Sinar Harian Edisi ke-356 yang bertajuk ‘Akta Tembakau, Apa Kata Anak Muda’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.

Turut menjadi panelis, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noraryana Hassan dan Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 21/22 Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Muhammad Aqil Mirza Mohd Shafiee manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Murallitharan turut mencadangkan agar kerajaan memberikan bantuan subsidi terhadap bahan atau perkhidmatan yang digunakan untuk membantu perokok berhenti merokok.

“Misalnya, jika golongan remaja atau dewasa daftar pada klinik berhenti merokok atau membeli gula-gula getah nikotin (terapi gantian nikotin untuk berhenti merokok), mereka mungkin patut dapat pelepasan cukai.

“Inilah cara kerajaan boleh mendorong generasi yang sudah merokok untuk lepas daripada masalah atau penyakit ketagihan nikotin,” jelasnya.