Bilangan perokok baharu, muda bertambah

in Wacana by

SHAH ALAM – Bilangan perokok baharu terutamanya dalam kalangan generasi muda menunjukkan peningkatan lebih tinggi berbanding angka kematian akibat menghisap rokok.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noraryana Hassan berkata, penggunaan tembakau dalam kalangan rakyat Malaysia tidak mencatatkan penurunan, sebaliknya kekal sekitar 20 peratus sejak tahun 1986 hingga 2019.

“Kita tidak nampak penurunan trend (penggunaan tembakau). Secara saintifiknya, kita tahu orang yang merokok mempunyai komplikasi penyakit misalnya, kanser.

“Jangka hayat (perokok) adalah kurang daripada mereka yang tidak merokok tetapi kenapa trend ini tidak menurun?

“Ini kerana, daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019, perokok baharu bertambah dan menggantikan peratusan perokok ‘senior’ yang telah pergi (meninggal dunia).

“Jadi kita nekad bahawa amalan (merokok) ini tidak boleh berterusan. Kita perlu buat satu polisi yang benar-benar serius untuk tangani masalah rokok dalam kalangan generasi muda akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Wacana Sinar Harian edisi ke-356 yang bertajuk ‘Akta Tembakau, Apa Kata Anak Muda’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.

Turut menjadi panelis, Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M Murallitharan dan Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 21/22 Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Muhammad Aqil Mirza Mohd Shafiee manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Program bersiaran dari Studio Karangkraf itu turut disaksikan seramai 20 pelajar Uniten dan 10 pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).

Dr Noraryana berkata, rokok elektronik atau vape mula membanjiri Malaysia pada 2015 di mana tinjauan NHMS pada tahun berikutnya mendapati sebanyak 3.2 peratus rakyat Malaysia yang menghisap vape.

“Tetapi kini jumlahnya meningkat kepada 4.9 peratus, dulu kira-kira 600,000 individu yang menghisap vape, sekarang meningkat kepada 1.2 juta, berganda (peningkatan),” ujarnya.

Jelas beliau, ketagihan rokok elektronik berisiko memberikan kesan jangka panjang terhadap kesihatan perokok.

“Kita dah mula kesan sejenis penyakit Evali (penyakit berkaitan paru-paru akibat vape). Ini yang kita bimbang dengan penemuan penyakit terkini yang menyebabkan kerosakan pada dinding paru-paru.

“Bayangkan anak-anak muda yang mempunyai paru-paru yang sihat tetapi dicemari dengan bahan kimia yang boleh menyebabkan radang paru-paru dan sukar untuk bernafas.

“Kita memang sudah ada kes di Malaysia. Kita juga sudah mula buat pemakluman kepada KKM jika adanya berlaku kes Evali,” ujarnya.