Konflik Israel-Palestin: Biden sokong penyelesaian dua negara

in Global by

RAMALLAH – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyuarakan sokongan terhadap penyelesaian dua negara bagi merungkai konflik Israel-Palestin dan berikrar memberikan bantuan AS$300 juta kepada Palestin ketika singgah di Baitul Laham, Tebing Barat pada Jumaat.

“Sebagai Presiden AS, komitmen saya ke arah penyelesaian dua negara tidak pernah berubah,” lapor Xinhua yang memetik Biden pada sidang akhbar bersama bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Baitulaham.

“Matlamat pembentukan dua negara seakan terlalu jauh manakala penghinaan seperti sekatan pergerakan atau perjalanan atau rasa tertekan akibat bimbang terhadap keselamatan anak-anak adalah suatu yang amat mendesak,” katanya yang berada di Timur Tengah dalam rangka lawatan diplomatik.

Sebelum berlepas ke Arab Saudi pada sebelah petang, Biden turut mengunjungi Abbas di Istana Presiden Palestin di Baitul Laham.

Bagi menangani masalah di Baitulmaqdis, Biden berkata, bandar itu menjadi tumpuan terhadap wawasan kebangsaan bagi kedua-dua entiti iaitu Israel dan Palestin dengan Jordan terus bertindak sebagai penjaga tempat suci berkenaan.

Pada sidang akbar itu, Biden turut berkata, AS akan memberikan bantuan sebanyak US$200 juta bagi membiayai Agensi Bantuan bagi Pelarian Palestin (UNRWA) untuk melaksanakan misinya dirantau itu.

Ketika melawat sebuah hospital Palestin, beliau turut berjanji menyediakan US$100 juta untuk Rangkaian Hospital Baitulmaqdis Timur, termasuk enam institusi kesihatan serta khidmat kesihatan bagi penduduk Palestin di kota suci itu.

Sementara itu, Mahmoud Abbas menggesa Biden mewujudkan suasana politik bagi mencari keadilan dan keamanan berkekalan menyeluruh di rantau itu.

Sambil mengulangi beberapa ketetapan antarabangsa serta penyelesaian dua negara di sepanjang sempadan 1967 sebagai asas proses damai, Abbas menggesa Biden membantu mengukuhkan kembali tunggak berkenaan.

“Selepas 74 tahun pendudukan dan pengusiran Nakba, bukankah sudah tiba masa bagi penjajahan ini (Israel) dihentikan, bagi rakyat kami yang berpendirian teguh pula, sekali lagi, bagi mendapatkan kebebasan dan kemerdekaan mereka.

“Sehubungan itu, kami menegaskan bahawa kunci untuk keamaman dan keselamatan di rantau ini bermula dengan mengiktiraf Negara Palestin, membenarkan rakyat Palestin mendapatkan hak sah mereka sejajar dengan ketetapan antarabangsa.

“Kami sedang menunggu langkah yang akan diambil oleh Kerajaan AS bagi mengukuhkan hubungan dua hala dengan membuka semula konsulat AS di Baitulmaqdis Timur, mengeluarkan PLO (Pertubuhan Pembebasan Palestin) daripada senarai kumpulan pengganas AS,” kata Abbas.

Sebelum Baitul Laham, Biden melawat Israel pada Rabu yang menjadi destinasi pertama rangka lawatannya ke Timur Tengah. Beribu-ribu penduduk Palestin mengadakan bantahan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza membantah lawatan Biden ke Israel dan wilayah Palestin serta dasarnya yang didakwa berat sebelah berhubung isu Israel-Palestin.

Sementara itu, Hamas, kumpulan yang memerintah Semenanjung Gaza, membidas lawatan Biden yang dianggap sebagai ‘tiada sebarang perkara baharu membabitkan Palestin selain cuba menyerlahkan sikap berat sebelahnya terhadap visi Israel.”

“Biden terus menjual ilusinya kepada khalayak menerusi beberapa terminologi yang hambar,” kata jurucakap Hamas, Hazem Qassem. – Bernama