Laporan situasi terkini Covid-19 dibentang kepada MPN 26 Julai

in Koronavirus by

KUALA LUMPUR – Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dijadualkan bersidang pada 26 Julai ini akan mendengar laporan terkini situasi Covid-19 yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di samping laporan berhubung pengurusan ekonomi negara.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun kes Covid-19 dalam negara menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini, beliau yakin keadaan adalah terkawal.

“…logistik seperti katil hospital, keupayaan menguruskan (kes) setakat ini tidak menjadi masalah, tempoh dua tahun telah memberikan cukup banyak pengalaman menguruskan Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Blood Donation Drive 2022 anjuran Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation (TSMCGF) di Mid Valley Mega Mall di sini pada Sabtu.

“Covid-Covid lah… tapi orang hendak hidup, hendak cari makan, ada pekerjaan, nak hidupkan semula industri dan kegiatan ekonomi, supaya ekonomi negara tidak terus terjejas teruk sebagaimana berlaku masa lepas,” tambahnya.

Katanya, Pelan Pemulihan Negara 2.0 yang sedang disiapkan MPN akan mengambil kira langkah-langkah holistik yang wajar diambil berkaitan ekonomi memandangkan rakyat ketika ini terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan bermacam isu lain.

Mengenai kempen derma darah Muhyiddin berkata, ia merupakan acara tahunan TSMCGF yang masuk tahun kesembilan dan penganjuran kali ini disasar mengumpulkan lebih 600 pek darah.

Kempen derma darah yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad di pusat membeli-belah Mid Valley Mega Mall itu adalah program kolaborasi TSMCGF dengan Pusat Darah Negara and IGB Real Estate Investment Trust. – Bernama