MySejahtera tampil fungsi baharu, papar rekod kesihatan

in Koronavirus by

IPOH – [DIKEMAS KINI] Rekod imunisasi kanak-kanak dan kesihatan kini boleh diakses di telefon bimbit menerusi aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ciri terbaharu itu merupakan langkah awal kementerian untuk Mysejahtera digunakan sebagai pendigitalan maklumat kesihatan yang sebelum ini disimpan secara manual.

“Dengan adanya kemaskini terbaharu itu, buat kali pertama rakyat Malaysia boleh menyimpan rekod kesihatan peribadi mereka secara digital dalam MySejahtera bermula hari ini (Sabtu).

“Sekarang ini tidak perlu lagi buku imunisasi. Sijil vaksinasi kanak-kanak di bawah Program Imunisasi Kebangsaan akan disimpan secara digital dalam MySejahtera boleh dibawa ke mana-mana sahaja sebagai bukti vaksinasi,” katanya ketika pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat peringkat negeri dan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di Bulatan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin.

Menurutnya, ciri baharu untuk rekod imunisasi bayi bermula dengan kelahiran pada 1 Julai 2022 juga kini boleh didapati dalam aplikasi tersebut.

“Ini fasa pertama dan selepas ini saya telah beri arahan supaya buku merah jambu yang selama ini simpan maklumat kesihatan ibu dan anak akan dimasukkan dalam MySejahtera. Buku derma darah belum lagi.

“Kita tidak perlu buat apa-apa hanya pergi ke klinik kesihatan atau klinik yang mempunyai sistem MySejahtera, maklumat dipaparkan ke dalam aplikasi itu setelah mendapat kebenaran,” katanya.

Mengulas kemungkinan data diceroboh, Khairy menegaskan bahawa ciri-ciri keselamatan aplikasi itu sentiasa dipertingkatkan.

“Data MySejahtera tidak pernah diceroboh. Sejak beberapa bulan lagi memang langkah-langkah untuk meningkatkan tahap keselamatan MySejahtera telah dan sedang dilaksanakan untuk pastikan tiada pencerobohan data peribadi.

“Data ini disimpan oleh KKM bukan pihak lain malah ia hanya boleh dikongsi sekiranya pengguna setuju untuk kongsi maklumat tersebut,” katanya.