Program pembangunan bola sepak berada di landasan betul

in Sukan by

KEJAYAAN Malaysia muncul juara pada Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) AFF 2022 di Indonesia membuktikan program pembangunan bola sepak negara yang direncanakan berada di landasan betul dan mencapai sasaran.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, ia sekali gus menunjukkan pelapis sukan itu bersedia membawa pasukan bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.

Skuad B-19 negara ke Indonesia dengan menyaksikan 21 daripada 25 pemain pasukan muda negara merupakan ‘produk’ Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

“Ini menunjukan pencapaian dan prestasi pemain kita serta kejayaan dengan program diatur dan disusun telah capai sasaran dan ia satu perkembangaan yang baik.

“Masa depan kita cerah dan dengan latihan bersama kesungguhan semua yang terlibat dalam bola sepak, saya yakin kita boleh capai tahap yang lebih baik kelak,” katanya ketika mengulas mengenai kejayaan Malaysia menewaskan Laos 2-0 pada final kejuaraan B-19 AFF 2022 di Stadium Patriot Candrabhaga di Bekasi pada Jumaat.

Beliau ditemui pada Karnival Belia dan Sukan Pahang 2022 yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut berkenan menyertai Fun Run sepanjang 5 kilometer dan mengurniakan Surat Tawaran Pekerjaan Program Y-Career kepada lima individu di Kuantan pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Beliau berkata, Pahang turut memainkan peranan dalam pembangunan bola sepak apabila Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah turut berkenaan mengizinkan penggunaan tanah bagi membangunkan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang.

Sebagai rekod, skuad B-19 kebangsaan mempunyai rekod baik dalam tiga edisi terakhir kejohanan itu apabila menjuarai edisi 2018 yang juga menjadi gelaran sulung pasukan negara dalam sejarah penganjuran kejohanan itu selain muncul naib juara edisi 2017 dan 2019.

Menyentuh mengenai karnival selama tiga hari bermula semalam dengan pelbagai pengisian program antaranya Fun Run, Fun Ride, futsal, karnival mini Esports dan tawaran pengurangan saman daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan dan Majlis Bandaraya Kuantan hingga 50 peratus itu, beliau berkata, ia mendapat sambutan menggalakkan. – Bernama