3,000 surat tawaran IPT Mara dikeluarkan setakat ini: Hasbi

in Nasional by

KUCHING – Hampir 3,000 surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi Mara tahun ini telah dikeluarkan secara terus kepada pelajar yang layak menerusi Karnival Institusi Pendidikan Mara (IPMA) 2022, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata, surat tawaran yang dikeluarkan terdiri daripada pelbagai peringkat program pendidikan seperti program diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana, malah ada juga tawaran untuk belajar ke luar negara.

Beliau seterusnya menyeru anak Sarawak untuk merebut peluang bagi mendapat maklumat mengenai laluan pendidikan dan kemudahan yang disediakan Mara.

“Anak Sarawak perlu rebut peluang ini agar dapat meningkatkan tahap akademik masing-masing, sekali gus mampu menyumbang kepada perubahan sosioekonomi keluarga kelak,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Karnival IPMA 2022 di sini pada Ahad.

Menurutnya, Karnival IPMA telah diadakan sejak 18 Jun lepas, di Sabah, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Perak.

Hasmi berkata, minggu ini karnival berkenaan diadakan serentak di tiga lokasi iaitu Plaza Merdeka, Kuching, Plaza Angsana (Johor) dan Aman Central (Kedah) sebagai penutup tirai siri jelajah promosi IPMA 2022.

Karnival IPMA memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 mengenai peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi melalui fasiliti pendidikan yang disediakan Mara..

Sejumlah 24 pempamer terlibat dalam Karnival IPMA 2022 dan karnival hari ini turut menyaksikan majlis penyampaian sijil penghargaan kecemerlangan kepada beberapa pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Sarawak yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2021.

Sementara itu Hasbi berkata, Sarawak ketika ini sudah mempunyai tiga MRSM, dan dua lagi sedang diusahakan.

Beliau berkata, MRSM di Bintulu yang merupakan tajaan sepenuhnya syarikat Petronas sudah siap kira-kira 90 peratus, dan ia dijangka siap sepenuhnya tahun depan, manakala sebuah lagi sedang dirancang untuk dibangunkan di Lawas.

Tiga MRSM di Sarawak ketika ini terletak di Kuching, Betong dan Mukah. – Bernama