Amirudin mahu bantu kukuhkan PKR hadapi PRU15

in Politik by

SHAH ALAM – Sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berazam membantu pimpinan di setiap peringkat untuk mengukuhkan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Alhamdulillah. Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli PKR dari seluruh negara kerana memberi kepercayaan dan keyakinan kepada saya selaku Naib Presiden PKR bagi Penggal 2022-2025.

“Saya berazam untuk membantu Presiden dan Timbalan Presiden serta barisan pimpinan di peringkat pusat, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan bagi memperkuatkan dan memperkukuhkan Keadilan menghadapi PRU15 tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Ahad.

Pada Ahad, Datuk Seri Anwar Ibrahim diumum secara rasmi sebagai Presiden PKR bagi sesi 2022-2025 pada Kongres Nasional Ke-16 parti itu selepas menang tanpa bertanding pada Pemilihan PKR 2022 dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden PKR.

Sementara itu, empat jawatan Naib Presiden PKR yang menyaksikan pertandingan 17 penjuru dimenangi Amirudin (46,075 undi), Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang (34,939), Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad (34,496 undi) manakala Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (33,230 undi).

Dalam pada itu, Amirudin turut mengajak semua ahli PKR agar dapat melangkah dari episod pemilihan itu dan merapatkan saf kekuatan demi merangkul kemenangan buat PKR pada PRU15 akan datang

“Di Selangor, saya akan terus berikhtiar bersama rakan-rakan pimpinan untuk meneruskan dasar dan kebijakan yang mengutamakan kebajikan rakyat serta berusaha mempertahankan Selangor sebagai negeri yang diterajui Keadilan dan Pakatan Harapan,” tambahnya.