‘Aragalaya‘ tumbangkan dinasti Rajapaksa

in Analisis Sinar by

TANGGAL 9 Mei dan 9 Julai 2022 akan menjadi ‘tarikh keramat’ buat rakyat Sri Lanka yang menyaksikan kejatuhan adik-beradik Rajapaksa.

Pada 9 Mei lalu, Mahinda Rajapaksa yang pernah menikmati majoriti di Parlimen akhirnya terpaksa meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas insiden pertempuran ganas antara puak penyokong beliau dan kumpulan protes antikerajaan di ibu kota.

Kira-kira dua bulan kemudian, adiknya yang juga Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa pula menerima nasib sama setelah kediaman rasminya di Colombo diserbu masuk dan ditawan puluhan ribu peserta protes hingga memaksanya bersembunyi sebelum melarikan diri ke Singapura.

Pemimpin berusia 73 tahun itu akhirnya digulingkan oleh ‘aragalaya’ atau perjuangan rakyat menentang presiden kelapan tersebut yang memegang kuasa sejak 2019.

Cubaan beliau untuk meninggalkan negara itu juga agak dramatik dan penuh debaran gara-gara tidak mendapat layanan VIP hingga memaksanya dibawa keluar menaiki jet tentera ke Maldives.

Secara kebetulan, Rajapaksa turut mencipta sejarah apabila pesawat dinaikinya dari Male ke Singapura menjadi penerbangan paling dijejaki di dunia dalam masa nyata, menurut data Flightradar24.com.

Beliau tidak seperti pemimpin lain yang sedaya upaya merahsiakan destinasi mereka apabila melarikan diri ke luar negara atas faktor keselamatan.

Rantau Asia Selatan telah menyaksikan kebangkitan rakyat yang melancarkan penentangan terhadap rejim tidak popular dan autoritarian.

Situasi yang melanda Sri Lanka seakan-akan mengimbau kembali revolusi kebangkitan rakyat di Asia Barat atau Arab Spring yang menggulingkan beberapa pemimpin diktator pada 2011 termasuk bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Siapa sangka keluarga politik Rajapaksa yang pernah meraih sokongan popular dan memenangi hati rakyat kerana membawa keamanan dengan menghapuskan pengaruh Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) kini berdepan tentangan rakyat yang membantah skandal rasuah, penyelewengan serta monopoli kuasa yang meluas hingga menyebabkan mereka kebal.

Keluarga Rajapaksa pernah diangkat sebagai wira negara sebelum dinasti tersebut akhirnya tumbang setelah memerintah negara yang berpopulasi 22 juta penduduk secara kuku besi selama lebih dua dekad.

Segalanya bermula dengan siri protes aman pada akhir Mac lalu apabila kumpulan penunjuk perasaan terdiri daripada aktivis, pelajar dan orang awam daripada pelbagai etnik bersatu mengadakan demonstrasi sambil melaungkan slogan ‘GoGotaGama’ yang menuntut pengunduran Rajapaksa.

Persoalannya kini, apakah hala tuju ‘aragalaya’ selepas matlamat mereka untuk menggulingkan keluarga Rajapaksa berjaya direalisasikan.

Bukan sahaja krisis ekonomi di negara itu semakin meruncing malah pihak pembangkang juga berpecah belah mungkin menyebabkan proses peralihan kuasa dan usaha membentuk kerajaan sementara tidak akan berjalan lancar memandangkan parti pemerintah, Sri Lanka Podujana Peramuna (SLPP) masih kekal memegang majoriti.

Krisis bekalan bahan api, bebanan hutang dan inflasi dijangka bertambah buruk akibat ketidakstabilan politik secara berterusan yang akan menjejaskan rundingan bersama Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk bantuan pinjaman yang dibincangkan oleh pemerintah sebelum ini.

Ketika kemarahan rakyat masih belum reda, Rajapaksa menerusi nota ringkas yang dihantar beliau dari Singapura menuding jari menyalahkan pandemik Covid-19 yang menyebabkan krisis kewangan di negara kepulauan tersebut.

Ketika ini, beberapa pakar berpendapat masalah ekonomi dihadapi negara itu bukan berpunca daripada kegagalan kerajaan sebaliknya kerana kesilapan membuat keputusan.

“Sri Lanka adalah sebuah negara demokrasi, namun rakyat sudah tidak lagi dapat menerima kronisme.

“Gabungan nepotisme dan salah urus ekonomi menyebabkan kebanyakan rakyat kecewa dengan keluarga Rajapaksa,” kata penyelidik kanan di badan pemikir, ODI Global, Ganeshan Wignaraja merujuk kepada pelantikan adik-beradiknya, Basil dan Chamal yang memegang jawatan penting dalam kerajaan.

Krisis di Sri Lanka memberi pengajaran penting bahawa revolusi kebangkitan rakyat mampu menumbangkan rejim yang berkuasa.

Jelas sekali salah urus dan dasar ekonomi lemah serta skandal rasuah peringkat tertinggi melibatkan rejim kroni adalah ‘resipi’ untuk bencana politik sesebuah negara.

* Marlissa Kamal ialah wartawan Global Sinar Harian