Isu doping: PABM beri amaran keras kepada persatuan negeri

in Sukan by

PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) memberi amaran keras kepada persatuan negeri bahawa mereka akan disenaraihitamkan daripada menyertai Sukan Malaysia (Sukma) sekiranya terdapat atlet masing-masing terlibat dalam isu doping.

Pengurus pasukan angkat berat kebangsaan ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Amirul Hamizan Ibrahim berkata, amaran dikeluarkan Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat itu bagi memastikan insiden pada Sukma 2018 di Perak sehingga menyaksikan dua atlet positif bahan terlarang jenis ‘methylhexanamine’ tidak berulang di Sukma Malaysia Ke-20.

Justeru beliau berkata, pihaknya sering memberi motivasi selain bekerjasama dengan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) dengan memberi ceramah berkaitan doping kepada persatuan negeri dalam usaha memastikan isu yang sering mencemari sukan itu tidak berlaku lagi pada masa hadapan.

“Saya harap barisan atlet dapat kekalkan prestasi selain buktikan angkatan bagus serta bersih daripada segala isu doping di Sukma,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN di sini hari ini.

Dalam pada itu, bekas badang negara itu memaklumkan selain menilai prestasi atlet di Sukan Komanwel Birmingham dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini, mereka juga akan menjadikan Sukma kali ini yang dijadual berlangsung dari 16 hingga 24 September di Lembah Klang, sebagai medan pemilihan terakhir bagi Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Bekas pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2002 di Manchester, England itu juga berkata, PABM akan menghantar skuad terbaik bagi menghadapi temasya dwitahunan di Kemboja, dengan pemenang pingat di Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam pada Mei lepas berkemungkinan besar dikekalkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, mereka masih perlu menunggu senarai acara atau kategori daripada penganjur sebelum memutuskan atlet mana yang bakal membawa cabaran negara di Kemboja.

Pada Sukan SEA Hanoi, skuad negara membawa pulang satu perak serta tiga gangsa. – Bernama