Langkah penjimatan wajar dilaksanakan

in Nasional by

KOTA BHARU – Pelaksanaan penjimatan dalaman bagi membolehkan perbelanjaan disalurkan kepada rakyat merupakan langkah wajar.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan terus membantu rakyat walaupun peningkatan subsidi kini mencecah kira-kira 7 bilion.

“Kita mengambil langkah penjimatan dengan melihat semula belanja mengurus membabitkan projek pembangunan.

“Bagaimanapun, kerajaan akan meneruskan projek yang sudah bermula. Saya juga sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk membatalkan beberapa projek tertentu yang belum dimulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengenai langkah penjimatan dalaman kepada semua kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG).

Mustapa berkata kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pasaran Buruh Dan Pembentangan Hasil Program Outreach Pemprofilan Pencari Kerja Peringkat Negeri Kelantan 2020 Sempena Karnival Kerjaya Aspirasi Keluarga Malaysia pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Bahagian Perkhidmatan Maklumat dan Analisa Pekerjaan Sip Perkeso, Ummar Jai Kumar Abdullah; Pengarah Perkeso Negeri, Nora Yaakob dan Pengarah Jabatan Perangkaan Kelantan, Fareza Mohamed.

Arahan itu dikeluarkan melalui Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk ‘Garis panduan penjimatan perbelanjaan awam’ bagi membolehkan perbelanjaan itu disalurkan kepada rakyat.

Pekeliling terbabit ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Seri Asri Hamidon dan berkuat kuasa mulai Jumaat.