Pesawat India lakukan pendaratan cemas di Karachi, Pakistan

in Global by

NEW DELHI – Sebuah pesawat India yang dalam penerbangan dari Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menuju ke selatan India melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi pada Ahad.

Ini kejadian kedua yang berlaku dalam bulan ini membabitkan pesawat penumpang India melakukan pendaratan cemas di Pakistan akibat masalah teknikal.

“Penerbangan IndiGo 6E-1406 dari Sharjah ke Hyderabad itu telah dilencongkan ke Karachi. Juruterbang mendapati ada masalah teknikal. Untuk mematuhi prosedur ditetapkan dan sebagai langkah berjaga-jaga pesawat itu dilencongkan ke Karachi,” menurut kenyataan media IndiGo.

Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan (PCAA), A320 selamat mendarat pada 2.14 pagi waktu tempatan dan 186 penumpang dilaporkan selamat.

Penumpang terbabit kemudian berlepas ke Hyderabad menggunakan pesawat lain.

Pada 5 Julai lalu pesawat B737 syarikat penerbangan tambang murah SpiceJet yang dalam penerbangan dari New Delhi ke Dubai melakukan pendaratan cemas di Karachi kerana masalah teknikal. – Bernama