Rozali umum bertanding PRU15

in Politik by

PUNCAK ALAM – Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd, Tan Sri Rozali Ismail mengumumkan kesediaannya untuk bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Rozali berkata, beliau akan bertanding atas tiket parti baharu mewakili Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di bawah naungan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF).

Menurutnya, pemilihan bertanding di Kuala Selangor dibuat memandangkan kawasan itu mempunyai tanah rancangan iaitu Felda Bukit Cherakah.

“Saya sendiri memajukan Bandar Puncak Alam ini di atas tanah Felda Bukit Cherakah dan sebab itu ia dekat di hati saya walaupun dibesarkan di Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

“Kemungkinan saya sendiri jika diizinkan ALLAH akan bertanding di kawasan Kuala Selangor,” katanya pada sidang akhbar selepas Karnival Sukan Antara Fasa Bandar Puncak Alam (SUKAF 2022) Ketiga di Masjid Bandar Puncak Alam di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, katanya, beliau masih dalam peringkat penilaian untuk menentukan sama ada bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

“Saya tengah buat kajian (bertanding di DUN atau Parlimen) dari segi kesesuaian di bawah tiket parti yang nak ditubuhkan,” katanya.

Jelas beliau, penyertaan beliau dan parti mewakili suara peneroka itu nanti diharap dapat membantu dan membela masyarakat Felda di semua tanah rancangan seterusnya memastikan lebih maju untuk 50 tahun akan datang.

“Kita hendak memastikan ladang Felda diurus tadbir dengan baik dan akhirnya golongan peneroka akan mendapat pulangan baik untuk membina keluarga dan masyarakat serta membantu kerajaan dan negara,” katanya.