12,800 rakyat Perak hijrah ke luar

in Edisi by

IPOH – Seramai 12,800 penduduk di Perak bermigrasi keluar dari negeri ini pada tahun 2020.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah tersebut melebih migrasi masuk ke dalam Perak iaitu seramai 11,600 orang.

Menurutnya, menerusi laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), migrasi bersih Perak pada tahun 2020 adalah pada kadar -1.2.

“Angka ini menunjukkan situasi migrasi negeri Perak masih dalam keadaan terkawal, namun ia perlu diberi perhatian serius bagi menjamin sumber manusia negeri dapat dikekalkan untuk menyokong dan menggerakkan agenda pembangunan negeri.

“Kerajaan negeri akan terus berusaha memperkukuhkan ekosistem berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja bagi memastikan rakyat Perak mendapat pekerjaan dan meningkatkan taraf sosioekonomi tanpa perlu berhijrah ke luar,” katanya ketika sesi Soalan Lisan sempena Mesyuarat Kedua, Tahun Kelima DUN Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Isnin.

Saarani berkata, antara perancangan kerajaan negeri melalui Invest Perak ialah menarik minat tenaga pakar berkhidmat di Perak dengan mempelbagaikan aktiviti ekonomi khususnya dalam menarik pelaburan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk memenuhi keperluan rakyat.

Menurutnya, selain itu, Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) juga secara berterusan menjalankan pelbagai bentuk program dan inisiatif dalam usaha menghebahkan peluang pekerjaan tersedia terutama kepada graduan yang bakal menamatkan pengajian.

Jelasnya, sebagai antara agenda penting dalam pelan Perak Sejahtera 2030, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan dijadikan pemacu bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berpotensi menembusi pasaran pekerjaan dan memenuhi permintaan industri.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM4 juta pada tahun 2022 di bawah Jawatankuasa TVET Negeri Perak untuk melaksanakan program latihan kemahiran dalam menjayakan agenda satu warga satu kemahiran.