‘Indonesia perlu serius’

in Nasional by

SHAH ALAM – Pertubuhan Malaysian Community Care Foundation (MCCF) mahu pemerintah Indonesia mengambil serius usaha menghapuskan ejen-ejen penghantaran tenaga kerja yang tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti memperdagangkan manusia ke negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Halim Ishak berkata, Indonesia juga tidak sepatutnya hanya fokus terhadap memorandum persefahaman (MoU) mengenai kemasukan pekerja asing dari republik berkenaan.

Tegas Halim, berdasarkan kajian MCCF terhadap warga asing sejak tahun 2015, lambakan golongan itu termasuk dari Indonesia telah mengancam keselamatan rakyat Malaysia.

“Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (SMO) yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) adalah bertujuan untuk menghapuskan sindiket pemerdagangan manusia yang menjadi ejen-ejen tenaga kerja di Indonesia.

“Jadi Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono tidak sepatutnya beremosi dalam mengeluarkan kenyataan seolah-olah menyalahkan Malaysia dalam isu MoU berhubung pekerja Indonesia di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bercakap kepada sebuah portal berita, Hermono menjelaskan Indonesia bersikap ‘berlapang dada’ sekiranya Malaysia berhasrat membatalkan MoU antara kedua-dua negara berhubung pengambilan dan perlindungan pekerja negara itu termasuk Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) ke Malaysia April lalu.

Ini kerana kata Hermono, MoU terbabit tidak dihormati, berikutan butiran dalam perjanjiannya tidak dipatuhi Malaysia.

Indonesia mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja negara itu memasuki Malaysia sejak 13 Julai lalu berikutan Imigresen terus menggunakan SMO biarpun kedua-dua negara bersetuju menggunakan satu saluran iaitu One Channel System (OCS) menerusi MoU.

April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan majlis menandatangani MoU antara kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia berhubung pengambilan PDI.

MOU PDI itu mengandungi empat elemen utama antaranya menggunakan hanya satu saluran tunggal kemasukan PDI atau OCS, menggunakan konsep One Maid One House dan kos ditetapkan pada kadar maksimum RM15,000.

Selain itu, gaji permulaan PDI ditetapkan RM1,500 bersamaan dengan kadar gaji minimum semasa negara.

“Saya yakin sekiranya pihak Duta Besar Indonesia berbincang secara efektif bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu ini, segalanya dapat dipermudahkan,” tambah Halim.

Dalam pada itu, Halim menegaskan, Kedutaan Besar Republik Indonesia juga haruslah bertanggungjawab untuk melayani kebajikan jutaan tenaga kerja Indonesia yang bekerja di Malaysia.

“Lebih baik sekiranya Duta Besar Indonesia itu bekerjasama dengan KDN dan Imigresen membuat program khas membawa pulang pendatang tanpa izin Indonesia ke negara mereka dengan menyediakan pesawat Tentera Nasional Indonesia sepertimana yang pernah di usahakan oleh bekas Duta Besar Indonesia sebelum ini, Herman Prayitno,” katanya.