Lewandowski cari ‘angin baharu’ di Nou Camp

in Sukan by

PEMAIN baharu Bercelona, Robert Lewandowski mendedahkan dia sebenarnya mencari ‘angin baharu’ apabila membuat keputusan untuk menyertai gergasi La Liga, Barcelona musim panas ini.

Menurut pemain Poland berusia 33 tahun itu, setelah lapan tahun beraksi di Allianz Arena dan memenangi banyak gelaran serta trofi bersama skuad Die Roten, sudah tiba masanya untuk dia berkelana mencari pengalaman baharu.

“Sebenarnya saya sudah lama mengimpikan untuk beraksi di luar saingan Bundesliga, tetapi perlu bersabar dan memikirkannya.

“Tidak dinafikan, ia juga merupakan antara keputusan yang sukar dalam hidup tetapi saya lakukan ini semuanya kerana mahu mencari pengalaman dan juga kehidupan baharu bersama keluarga.

“Lagi pun anak perempuan saya, Klara akan memulakan persekolahan tahun depan, jadi perlu buat keputusan sekarang dan ia perlulah sesuatu yang ‘baharu.

Jika terus berada di ‘takuk lama’ mungkin sukar untuk berubah atau membuat keputusan selepas itu,” katanya.

Untuk rekod, Lewandowski sudah pun melengkapkan urusan perpindahannya ke Nou Camp dengan nilai perpindahan RM224.2 juta baru-baru ini.

Ketika bersama Bayern Munich, Lewandowski membantu gergasi Bundesliga itu memenangi beberapa gelaran serta trofi termasuk Liga Juara-Juara pada musim 2020 lalu.

Sementara itu, Lewandowski menegaskan dia sama sekali tidak akan melupakan pengalamannya sepanjang beraksi di Allianz Arena terutama sokongan daripada penyokong Bayern Munich terhadapnya.

Katanya, sokongan berkenaan membuktikan penyokong memahami keputusannya itu dan ia membantu menguatkan lagi semangatnya untuk memulakan cabaran di Nou Camp.

“Saya terharu dengan sokongan daripada penyokong kerana di sebalik khabar angin dan juga berita mengenai ‘pemergian’ saya ke Nou Camp, mereka tetap memberikan sokongan.

“Terima kasih kepada semua dan saya harap hubungan bersama kelab ini akan berterusan biarpun kini beraksi dengan Barcelona,” katanya.