Penduduk Orang Asli Bidor bantah projek pembalakan

in Edisi by

IPOH – Lebih 1,000 penduduk Orang Asli suku Semai dan Temiar menggesa kerajaan Perak membatalkan projek pembalakan di kawasan seluas 80 hektar di Hutan Simpan Bukit Tapah di Tapah.

Tok Batin Kampung Chang Lama (Sungai Gepai), Dahil Yok Chopil berkata, projek itu dijangka memberi impak buruk terhadap kelestarian alam dan sumber pendapatan.

Menurutnya, kawasan terlibat didapati bertindih dengan tanah adat Orang Asli yang turut melibatkan Kampung Chang Baru dan Kampung Senta berhampiran di Bidor.

“Kawasan ini merupakan wilayah daripada turun-temurun yang menempatkan kubur nenek moyang selain menjadi sumber pendapatan berikutan kaya dengan hasil hutan dan minuman penduduk.

“Suatu rundingan diadakan pada 9 Jun lalu dengan pihak konsesi dan beberapa wakil agensi kerajaan, namun penjelasan diberikan tidak munasabah menyebabkan kami menolak aktiviti itu dilaksanakan” katanya ketika ditemui di Bangunan Perak Datul Ridzuan di sini pada Isnin.

Lebih 100 penduduk Orang Asli termasuk 50 Tok Batin sekitar negeri berhimpun untuk menyerahkan dua memorandum membantah pembalakan di wilayah tanah adat Orang Asli Perak kepada Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang diwakili Pegawai Khas, Azlan Aminuddin.

Dahil berkata, sebarang projek pembalakan di kawasan tanah adat Orang Asli perlu dihentikan demi menjaga kepentingan penduduk di seluruh negeri.

“Kerajaan Perak perlu lihat bencana yang telah berlaku di negara ini seperti banjir lumpur hingga ada menyebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

“Banyak bantahan disuarakan kami namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil. Sudah sampai masanya pihak kerajaan mengiktiraf kami dengan mewartakan semula tanah adat sebagai rizab Orang Asli,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A Sivanesan berkata, kesan pembalakan bukan sahaja dirasai penduduk Orang Asli tetapi keseluruhan kawasan Bidor berhampiran.

“Perkara ini dapat dilihat menerusi kejadian banjir kilat yang berlaku Mei lalu dengan terdapat banyak longgokan kayu balak ditemui di lokasi kejadian.

“Dua jambatan termasuk yang menghubungkan perkampungan orang asli turut terputus. Kita harap kerajaan negeri dapat menerima hasrat penduduk agar membatalkan projek ini,” katanya.