Rumah mampu milik harga RM80,000 dibina

in Edisi by

SEREMBAN – Sebanyak 800 rumah mampu milik pada harga bermula RM80,000 akan dibina di kawasan tanah seluas 24.63 hektar di Mantin, Mukim Sentul di sini.

Exco Pelaburan, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abd berkata, projek yang melibatkan usaha sama antara anak syarikat kerajaan Negeri Sembilan iaitu Perbadanan Negeri Sembilan dan pemaju Multiplex Development Sdn Bhd itu dianggarkan mempunyai jumlah Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM220 juta.

“Projek ini merupakan 100 peratus rumah mampu milik terdiri daripada 160 unit jenis A yang berharga RM80,000, 120 unit jenis B yang berharga RM250,000 dan 520 unit jenis C yang berharga RM360,000.

“Ia akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, tadika, taman permainan, balai raya, kolam

takungan banjir dan lain-lain untuk keselesaan penduduk,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik di Mantin di sini pada Isnin.

Menurutnya, projek itu dijangka akan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan dan keutamaan pembeli ialah penduduk di kawasan Mantin.

Sementara itu, Mohamad Rafie berkata, kerajaan negeri amat serius dan berusaha menyediakan kemudahan perumahan mencukupi, berkualiti dan selesa kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

“Kerajaan negeri melalui Perbadanan NS juga berhasrat membangunkan lebih banyak perumahan baharu di Parcel B, Smart Country kawasan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV2.0) seluas sekitar 1,011.7 hektar.

“Dianggarkan sebanyak 25,000 unit akan dibina membabitkan 12,500 unit rumah mampu milik.

“Ia akan membabitkan pembinaan mengikut kategori Dasar Perumahan Negeri Sembilan iaitu 20 peratus jenis rumah jenis A, 15 peratus jenis B Dan 15 peratus jenis C. Paling penting ini bakal mewujudkan sekitar 5,000 unit jenis jenis A berharga RM80,000 seunit,” katanya

Jelasnya, ia merupakan usaha kerajaan negeri untuk membantu masyarakat terutama golongan muda memiliki rumah sendiri.