Tolak usul bahas: Azhar nafi wujud konflik kepentingan

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menafikan wujud konflik kepentingan selepas dirinya menolak usul untuk membahaskan aset dua anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Azerbaijan yang dirampas oleh waris kesultanan Sulu di Dewan Rakyat.

Penjelasan itu dibuat Azhar Azizan susulan beberapa ahli Parlimen pembangkang mengaitkan keputusannya menolak untuk membahaskan isu tersebut kerana ada kaitan dengan abangnya yang merupakan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Beliau berkata, usul itu ditolak kerana ia bersifat subjudis memandangkan ada beberapa prosiding berkaitan kes tersebut masih berjalan di mahkamah.

“Saya menafikan bahawa terhadap konflik kepentingan (apabila buat keputusan tolak usul tersebut dan) saya tidak pernah masuk campur dengan hal yang abang saya buat ini. Saya tidak bercakap dengan dia pun.

“Saya tidak pernah bercakap soal kerajaan dengan beliau dan sekiranya apa-apa yang berlaku dalam dewan ini yang akan menyentuh mengenai beliau, maka saya selalunya akan mengecualikan diri saya daripada membuat keputusan,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Tambahnya, lagi, penolakan usul itu juga tidak seharusnya dibangkitkan memandangkan beliau telah mengizinkan satu usul tergempar mengenai perkara tersebut dibincangkan sebelum ini.

Malah katanya, isu aset milik Petronas di Azerbaijan itu gua telah diterangkan secara panjang lebar oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad sebelum ini.

“Jadi (sekarang ini) se,ua orang tahu apa sebenarnya yang berlaku tentang aset Petronas di Azerbaijan,” katanya.

Terdahulu, sidang Dewan Rakyat sesi pagi pada Isnin kecoh lebih setengah jam susulan keputusan Azhar Azizan menolak usul yang dikemukakan Isnaraissah Munirah [email protected] Fakharudy (Warisan-Kota Belud) untuk membahaskan isu tuntutan waris kesultanan Sulu terhadap Sabah.

Kekecohan bermula apabila Isnaraissah Munirah bangkit mempersoal keputusan Azhar Azizan yang tidak meluluskan usul kali ketiga yang dibawanya.

“Saya cukup hairan (dan) mahu tanya kerajaan persekutuan sampai tahap apa yang bahas ini dibolehkan? Dibahaskan dalam dewan ini?. Ini soal kedaulatan negara. Bukan soal remeh-temeh.

“Saya mohon semua Ahli-ahli Parlimen Sabah dan juga yang lain untuk berdiri memohon supaya usul ini dibincangkan, dibahaskan dalam dewan ini,” katanya.

Situasi bertambah panas apabila blok ahli Parlimen pembangkang bangkit menyokong tindakan Isnaraissah Munirah yang mempersoal keputusan tersebut.

Keadaan bertukar kecoh selepas Azhar Azizan enggan melayan tindakan Ahli Parlimen Kota Belud itu yang terus mendesak supaya usul itu diluluskan untuk dibahaskan.