1,826 lokasi serentak jayakan Malaysia #QuranHour

in WacanaQuran by
Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya kembali menjadi lokasi perdana Malaysia #QuranHour kali kelapan pada Selasa. – Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Para peserta hadir di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bagi menyertai Malaysia #QuranHour kali kelapan pada Selasa. – Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Bacaan Ikrar Quran Malaysia Teguh Bersama oleh selebriti, Datuk Adi Putra.
Hussamuddin menyampaikan ucapan “Kesabaran Pemimpin” dalam slot Pesan Tokoh

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Malaysia #QuranHour kali kelapan yang berlangsung di lokasi perdananya di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini mengangkat Surah Al-Sajdah sebagai formula tangani isu kesombongan melalui sujud, sedekah dan sabar dengan tema Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini diadakan sempena Hari Kebangsaan 2022 diadakan serentak secara fizikal di seluruh negara bermula 12 hingga 1 tengah hari berlangsung dengan jayanya hari ini.

Sebanyak 1,826 lokasi didaftarkan untuk penganjuran Malaysia #QuranHour di dalam negara dan satu lokasi di luar negara iaitu Brunei.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah IKhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, apa yang berlaku di dunia hari ini berpunca sifat sombong, tidak sujud, dan tidak sabar pemimpin dan rakyat. Ada yang mengambil jalan mudah seperti melakukan rasuah dan pelbagai tipu daya untuk mencapai kekayaan dengan cepat.

**media[1892784]**

“Misi kami adalah untuk memasakkan nilai yang ada dalam al-Quran itu dipindahkan ke dalam hati dan akal fikiran insan dan setelah lapan tahun penganjurannya sudah ada impak.

“Kerana Al-Quran kalau kita hendak hafal sahaja tak cukup mesti masuk kefahaman di dalam hati supaya diterjemahkan kepada perbuatan dan di situ negara dan dunia pasti boleh berubah menjadi lebih baik,” katanya pada sidang akhbar selepas program itu berlangsung.

Menurutnya, mesej yang disampaikan didengar oleh pemimpin-pemimpin di semua peringkat mereka harus meninggalkan piagam parti dan organisasi untuk kembali kepada piagam ALLAH yang disebut di dalam Al-Quran.

“Ini seruan kita, jika hendak makmurkan negara, kita harus faham surah Al-Sajdah,”ujarnya.

Jelasnya, melalui kempen gerakan al-Quran tersebut, ia boleh memberi kesedaran untuk kita mendekati, mempelajari dan mencintai al-Quran. Jika nilai al-Quran dapat dimasukkan dalam sistem operasi diri, maka kita boleh buat keputusan berasaskan ketakwaan.

“Bila kita buat misi Malaysia #QuranHour dan World #QuranHour adalah gerakan untuk memanggil ummah untuk mendekati dan berinteraksi dengan al-Quran dan ia bukan bermaksud membaca al-Quran setahun sekali apa yang kita nak adalah itu kempen secara besar-besaran untuk membaca al-Quran sejam setiap hari sepanjang tahun,” katanya.

**media[1893124]**

Hussamuddin berkata, ketika pandemik itu ALLAH permudahkan, jadi bila semua terkurung kami ada akses studio TV Al-Hijrah kita buat rancangan MyQuran Time setiap hari sepanjang Covid-19 itu.

“Sekarang program itu dah lebih 500 siri, dan Insya-ALLAH hujung bulan ini kita akan khatam al-Quran.

“Jadi maknanya hasrat kita untuk menjadikan umat Islam dekat dengan Al-Quran melalui konsep baca dan faham berjaya,” katanya.

Hussamuddin berkata, atas kesungguhan semua pihak untuk menjayakan program berkenaan, Malaysia #QuranHour dapat kembali diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Malaysia #QuranHour di bawah naung Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama rakan sinergi termasuk TV AlHijrah sebagai penyiar utama, RTM, Sinar Harian, Sinar TV, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani, TV3, Media, Utusan TV, Nu Ideativ, IKIMfm, News Straits Times Press (NSTP), Zayan FM, Denaihati.com, Pusat Pelancongan Islam (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Rumah Ngaji dan Sahabah Al-Quran.

Malaysia #QuranHour kali ini dibawakan oleh barisan Pembawa Panji Al-Sajdah oleh qari, pentadabbur, tokoh dan pembaca ikrar bersama hos Jalal Zaiki dan Farah Diana Anuar.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Al-Baqarah ayat 1 hingga 5, diikuti dengan Surah Al-Sajdah dengan bimbingan Qari Ustaz Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad, Ustaz Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, Ustaz Amirahman Abas, Ustaz Abdul Khair Jalil, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.

Manakala barisan pentadabbur ialah Ketua Pegawai Peyelidik WUIF, Ustaz Fazrul Ismail; Pegawai Khas Ketua Pengarah Jakim, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Pensyarah di Jabatan Usuluddin, Universiti Sultan Azlan Shah Dr Syafiq Sahimi.

Slot Pesan Tokoh bertajuk “Sujud & Sedekah” disampaikan oleh Mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaffar, manakala Hussamuddin menyampaikan pesan “Kesabaran Pemimpin”.

**media[1893121]**

Sesi diakhiri dengan bacaan Ikrar Quran Malaysia Teguh Bersama oleh selebriti, Datuk Adi Putra dan Doa untuk Malaysia oleh Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Ustaz Nor Azamir Alias.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, Surah Al-Sajdah membawa visi untuk memerdekakan diri kita daripada kesombongan, kesedihan dan kemurungan.

“Erti merdeka sebenar merujuk kepada Surah Al-Fajr ayat 27 hingga 30 yang bermaksud: Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang reda dan diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku,” katanya

Tambahnya, masyarakat hari ini berasa takut terhadap pelbagai perkara termasuk inflasi, kegawatan ekonomi dan politik. Untuk mendapatkan ketenangan, kita perlu kembali kepada al-Quran untuk dibaca, difahami dan diamalkan.

“Dalam konteks Surah Al-Sajdah ayat 15, 16 dan 24, kita membawa Kerangka 5S (Surah Al-Sajdah, Sombong, Sujud, Sedekah dan Sabar) sebagai solusi bagi isu kesombongan dengan bersujud, bersedekah dan bersabar sebagai pemimpin dan rakyat,” kata Marhaini.

Ujarnya, sifat sombong boleh menyebabkan kehancuran demi kehancuran berlaku. Dengan bersujud kepada ALLAH SWT dan banyakkan bersedekah, ia boleh membesarkan jiwa manusia dan berkasih sayang. Kemiskinan jiwa dan karakter menjadikan seseorang itu sombong.

“Sebagai rakyat dan pemimpin dalam keluarga, organisasi mahupun negara perlu bersabar dalam membina keluarga dan negara sejahtera. Marilah kita leburkan kesombongan diri untuk menjadi bangsa merdeka,” katanya.