20 masjid perintis guna teknologi hijau di Perak

in Edisi Perak by
Nizran (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Shahrul Azam (dua dari kanan) selepas menandatangani MoU pelaksanaan Projek Pemasangan Panel Solar PV melibatkan 20 masjid di Perak sambil disaksikan oleh Mohd Annuar (kanan) dan Redza Rafiq (kiri) di Ipoh.

IPOH – Sebanyak 20 masjid di sekitar Perak akan dipasang panel solar photovoltaic (PV) sebagai langkah menggalakkan penggunaan tenaga lestari dan menjimatkan kos utiliti.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Majuperak Holdings Berhad (MHB), Nizran Noordin berkata, projek pemasangan panel solar photovoltaic (PV) bernilai RM2.25 juta itu melibatkan masjid di daerah Hulu Perak, Larut Matang dan Selama, Perak Tengah, Manjung, Kuala Kangsar serta Kerian.

Menurutnya, pelaksanaan melalui Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 yang dijangka siap pada Jun 2023 akan memberi impak besar kepada masjid terlibat.

“Pemasangan panel-panel solar ini akan dilakukan secara percuma dan penyelenggaraannya akan ditanggung oleh United Solar Energy (Malaysia) Sdn Bhd (USEM) selama tempoh perjanjian.

“Selain menjimat tenaga elektrik, pengurangan pelepasan gas karbon dioksida akan berlaku seterusnya membantu mengurangkan masalah perubahan iklim,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MHB dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan disaksikan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Pengerusi Eksekutif MHB, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata, projek itu akan menjadikan masjid terlibat sebagai perintis utama penggunaan teknologi hijau.

“Kajian teknikal di lapangan dilakukan melibatkan 85 masjid dan 20 masjid berkenaan didapati memenuhi kriteria bagi tujuan pemasangan sistem solar ini.

“Difahamkan, pemasangan solar ini akan menyumbang kepada penjimatan sebanyak RM1.3 juta bagi tempoh konsesi 20 tahun dengan purata penjimatan sebanyak RM29,000 setahun,” katanya.

Jelas beliau, kesemua masjid ini bakal menikmati manfaat penjimatan sebanyak RM54,556.12 setahun.

“Kita ada hampir 700 masjid dan 1,000 surau seluruh negeri. Jadi, pemasangan sistem solar akan diperluaskan ke seluruh daerah secara berperingkat.

“MAIPk sentiasa memberi sokongan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap faedah teknologi hijau dan tenaga boleh baharu,” katanya.