Adi Putra diberi penghormatan baca ikrar Malaysia #QuranHour 2022

in WacanaQuran by
Adi Putra diberi penghormatan membaca ikrar pada program Malaysia #QuranHour 2022 yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya pada Selasa.

PUTRAJAYA – Pelakon terkenal, Datuk Adi Putra menyifatkan peluang yang diberi penganjur kepadanya untuk membaca ikrar pada program Malaysia #QuranHour 2022 merupakan satu penghormatan baginya sebagai anak seni.

Berkongsi pengalamannya itu, Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putra Halim berkata, peluang tersebut dimanfaatkan sebaiknya dan dalam masa sama turut memberi peringatan kepada dirinya untuk terus berpegang teguh pada al-Quran.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi mengundang untuk membacakan ikrar. Satu penghormatan dan penghargaan dan inilah yang boleh dimanfaat di luar sana, dalam erti kata sebenar manfaat.

“Sebagai seorang muslim, saya perlu laksanakan tuntutan yang diamanahkan sebagai ummah. Maka ia perlu dimanfaatkan sebaiknya,” katanya ketika ditemui selepas program Malaysia #QuranHour 2022 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Selasa.

Program yang mengangkat surah Al-Sajdah menerusi interaksi al-Quran melalui baca, faham dan amal itu diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 dan berlangsung secara serentak di seluruh negara bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

Dalam pada itu Adi berpandangan, program seumpama itu perlu diadakan setiap bulan bagi mengingakan orang ramai terutama umat Islam untuk sentiasa berpegang teguh dengan ayat-ayat al-Quran.

“Kalau boleh buat sebulan sekali agar boleh uar-uarkan kepada masyarakat di luar sana bahawa program seperti ini wujud, bukan sahaja di mata kasar tetapi mata hati, apatah lagi kita hidup berpandukan al-Quran.

“Bagi saya, kalau kita tidak manfaatkan (program) sebaik mungkin maka rugi sebagai seorang muslim, al-Quran jadi satu benteng atau tiang yang harus kita pegang mengikut firman (ALLAH) dan sabda Rasulullah SAW,” katanya.