JTDLKM di Terengganu rekod jualan RM1 juta

in Edisi Terengganu by
Nukman (tiga dari kiri) bertemu pengunjung yang hadir ke Program JTDLKM di pekarangan Masjid Kampung Kubang Ikan di sini pada Selasa.

KUALA TERENGGANU – Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) berjaya menarik jualan sebanyak RM1 juta dengan penjimatan sehingga RM100,000 dalam tempoh tiga bulan pelaksanaannya di Terengganu.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Nukman Hashim berkata, nilai kutipan jualan tersebut adalah hasil penganjuran 44 program JTDLKM bermula 4 Jun lalu di seluruh negeri.

“Pelaksanaan program ini bertujuan memudahkan pengguna setempat mendapatkan bekalan barangan keperluan harian terpilih pada harga lebih murah dengan penjimatan sehingga 20 peratus.

“Lebih 35,000 pengunjung telah mengunjungi semua program yang diadakan di setiap daerah bagi mendapatkan barang seperti ayam, ikan, telur, sayur dan buah-buahan,” katanya selepas meninjau Program JTDLKM di pekarangan Masjid Kampung Kubang Ikan, di sini pada Selasa.

Menurut Nukman, sejak dimulakan pada Jun lalu, pihaknya menyasarkan penganjuran sebanyak 120 program JTDLKM sehingga akhir tahun ini di Terengganu.

Beliau berkata, FAMA gembira kerana program banyak memberi manfaat kepada rakyat itu semakin mendapat sambutan daripada usahawan apabila berkembang kepada 24 peserta berbanding 13 usahawan pada peringkat permulaan.

Katanya, secara keseluruhannya sehingga kini seramai 714 usahawan terlibat dalam pelaksanaan program tersebut.

“Semua peniaga terlibat dalam jualan ini tidak dikenakan sewa, jadi mereka boleh menawarkan barang pada harga lebih murah kepada pelanggan di samping meningkatkan jualan selepas berdepan kesukaran selama dua tahun akibat Covid-19,” katanya.