Perubahan minda melalui panduan al-Quran

in WacanaQuran by
Malaysia #QuranHour kali kelapan diadakan di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya hari ini bermula jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari.

SHAH ALAM – Malaysia #QuranHour kali kelapan anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) diharapkan dapat terus menjadi platform meningkatkan penghayatan al-Quran dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, antara objektif utama acara tersebut adalah untuk membawakan perubahan minda masyarakat melalui panduan yang dinyatakan dalam al-Quran.

“Kita mahu orang faham bahawa al-Quran itu menawarkan formula penyelesaian dalam konteks pekerjaan atau kehidupan itu sendiri. Kita mahu al-Quran menjadi solusi melalui perubahan minda yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Penganjuran Malaysia #QuranHour kali ini diadakan di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada hari ini (Selasa) bermula jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari.

Dengan tema ‘Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, acara itu menghadirkan solusi daripada Surah Al-Sajdah yang menyajikan formula bagi membentuk mukmin sejati melalui sujud dan infak.

Marhaini berkata, penganjuran Malaysia #QuranHour kali ini diharapkan dapat meningkatkan lagi capaian orang ramai terhadap program yang dijalankan oleh WUIF.

“Kita berharap akan bertambah lagi Quran Corner, atau Rumah Ngaji di semua negeri. Setakat ini kita mempunyai lebih 3,000 rumah ngaji.

“Namun, yang lebih penting adalah misi kita iaitu untuk mengQurankan bangsa dan mengikhlaskan ummah,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai boleh turut serta secara fizikal pada acara Malaysia #QuranHour di lebih 1,800 hotspot di setiap negeri di seluruh negara.

Ujarnya, mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal boleh mengikuti program tersebut yang disiarkan secara langsung di TV Alhijrah, Astro Oasis dan Facebook rasmi QuranHour serta Sinar Harian.