PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

September 2022

Gempar harimau kumbang masuk dalam rumah

in Edisi Selangor KL by

Gempar apabila seekor harimau kumbang dilaporkan masuk ke dalam rumah seorang penduduk di Taman Pelangi, Semenyih. – Foto JBPMHarimau kumbang berkenaan berjaya ditangkap anggota Perhilitan menggunakan ubat pelali. – Foto JBPM

KAJANG – Penduduk di sekitar Jalan TPS 3/2, Taman Pelangi, Semenyih di sini digemparkan dengan kehadiran seekor harimau kumbang yang berkeliaran di sekitar kawasan perumahan berkenaan pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, salah seorang penduduk membuat panggilan kecemasan sejurus haiwan liar itu masuk ke dalam kawasan rumahnya sekitar jam 3.32 petang.

“Setelah membuat ‘size up’ didapati benar terdapat seekor harimau kumbang berada di tempat parkir rumah pemanggil.

“Anggota bomba membantu membuat pengosongan di sekitar ruang parkir berkenaan dan memasang jaring khas sebelum pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjalankan kerja-kerja membidik ubat pelali,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

**media[1928570]**

Norazam berkata, sejurus selesai diberikan ubat pelali, anggota bomba membantu Perhilitan mengangkat harimau kumbang tersebut ke dalam sangkar khas.

Katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan haiwan liar itu diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.

Malaysia julung kali terbit MGII Lestari bernilai RM4.5 bilion

in Bisnes by

Tengku Zafrul

KERAJAAN Malaysia buat julung kalinya berjaya menerbitkan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia Lestari (MGII Lestari) berjumlah RM4.5 bilion dalam pasaran domestik walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, permintaan yang kukuh terhadap MGII Lestari dibuktikan melalui lebihan langganan sebanyak 2.38 kali dengan kadar keuntungan ditetapkan pada 4.662 peratus.

Katanya, jumlah bidaan sebanyak RM10.7 bilion adalah yang tertinggi sejak Julai 2019 untuk terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)/MGII jangka panjang (sama atau lebih daripada 15 tahun).

“Permintaan yang tinggi mencerminkan keyakinan berterusan oleh pelabur terhadap asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan prospek pertumbuhan positif untuk 2022,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, MGII Lestari berjaya menarik pelbagai jenis pelabur dan telah diagihkan kepada institusi kewangan tempatan (50.3 peratus), pelabur institusi (38.4 peratus), syarikat insurans (7.2 peratus) dan pelabur bukan pemastautin (4.1 peratus).

“Kepercayaan dan pengiktirafan pelabur bukan sahaja terhadap asas ekonomi Malaysia dan prospek pertumbuhan yang kukuh, tetapi juga dari segi daya tahan ekonomi negara,” katanya.

Katanya, terimaan terbitan MGII Lestari akan digunakan untuk membiayai atau membiayai semula perbelanjaan sosial dan hijau yang ditetapkan, seperti yang digariskan dalam Rangka Kerja Sukuk SDG Kerajaan Malaysia, sama seperti terbitan Sukuk Kelestarian USD pada 2021.

Beliau berkata, terbitan itu bukan sahaja membolehkan Malaysia memenuhi komitmen sebagai negara yang bertanggungjawab terhadap Perjanjian Paris, tetapi turut meneruskan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.

“Terbitan ini membuktikan usaha kerajaan dalam mempercepatkan tindakan iklim serta peralihan ke arah negara yang makmur, inklusif dan mampan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12, 2021 – 2025,” katanya.

Katanya, terbitan itu juga adalah bukti keupayaan inovatif dan kepimpinan industri kewangan Islam Malaysia dalam menstruktur sukuk bagi memajukan polisi berpaksikan objektif kelestarian, untuk memakmurkan seluruh Keluarga Malaysia.

Tengku Zafrul berkata, terbitan MGII Lestari baharu ini dijangka dapat menarik lagi permintaan terutamanya daripada pelabur yang menguruskan portfolio kelestarian.

“Sebagai terbitan MGII kelestarian domestik yang pertama, terbitan ini merupakan penanda aras baharu dan mengiktiraf Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam global seterusnya mengukuhkan kedudukan negara sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia,” katanya. – Bernama

ASNB umum agihan pendapatan ASM 3 sebanyak 3.75 sen seunit

in Bisnes by

AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengumumkan pengagihan pendapatan untuk dana Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) sebanyak 3.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2022.

ASNB turut mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan ASM 3 berjumlah RM573.66 juta, yang akan memberi manfaat kepada 551,685 pemegang unit yang memiliki 15.30 bilion unit.

“Secara keseluruhannya, dana ini merekodkan pendapatan kasar berjumlah RM757.81 juta dan RM575.87 juta pendapatan bersih direalisasi di sebalik kebimbangan kemelesetan dan gangguan rantaian bekalan global yang menjejaskan prestasi pasaran global,” menurut PNB dalam kenyataan pada Jumaat.

PNB menambah, pendapatan untuk ASM 3 diperoleh daripada hasil keuntungan yang direalisasi, dividen serta lain-lain pendapatan daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

Strategi kepelbagaian yang dilaksanakan oleh dana ini terus menunjukkan hasil yang positif dengan ekuiti antarabangsa menyumbang 40.9 peratus kepada pendapatan kasar keseluruhan dana, jelasnya.

Menurut PNB, pengagihan pendapatan ASM 3 adalah bersamaan dengan jumlah pulangan sebanyak 3.75 peratus mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 2.02 peratus iaitu sebanyak 173 mata asas bagi tahun kewangan setakat 22 Sept, 2022.

Dalam tempoh yang sama, FTSE Bursa Malaysia KLCI susut sebanyak 6.41 peratus daripada 1,537.80 mata pada penutup 30 September 2021 kepada 1,439.16 mata pada 22 September 2022 apabila indeks mula mencatatkan aliran keluar pelaburan asing walaupun situasi pandemik Covid-19 semakin bertambah baik, tambahnya.

Menurut PNB, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 3 adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut.

“Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 3 akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Oktober 2022,” jelasnya.

Urus niaga ASM 3 di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platfom digital dan perbankan internet, telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 hingga 30 September 2022.

Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Oktober 2022 atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 2 Oktober 2022. – Bernama

Ringgit ditutup mengukuh sedikit berbanding dolar AS

in Bisnes by

Ringgit menutup urus niaga September dengan mencatat peningkatan kecil berbanding dolar AS pada Jumaat. – Foto 123RF

RINGGIT menutup urus niaga September dengan mencatat peningkatan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, sekali gus pulih daripada aliran penyusutan di tengah-tengah sentimen pasaran yang bercampur-campur, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit naik 20 mata asas kepada 4.6360/6390 daripada dolar AS berbanding paras 4.6380/6425 pada akhir urus niaga semalam.

Menurut penganalisis, sokongan belian ringgit itu berdasarkan jangkaan bahawa defisit fiskal negara akan ditangani dalam pembentangan Bajet 2023 minggu depan dengan kerajaan diunjur menyasarkan defisit fiskal 4.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun depan berbanding 5.5 peratus pada tahun ini.

“Harga minyak mentah penanda aras global yang kukuh pada US$89.23 setong atau kenaikan sebanyak 0.84 peratus, turut menyokong prestasi ringgit yang lebih baik pada hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Unit tempatan itu susut berbanding pound Britain kepada 5.1728/1762 daripada 5.0392/0441 semalam dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2343/2368 daripada 3.2228/2264.

Ringgit susut berbanding yen kepada 3.2103/2126 daripada 3.2050/2084 semalam dan turun berbanding euro kepada 4.5428/5458 daripada 4.4951/4995. – Bernama

Gerbang masuk pelaburan Malaysia-Turkiye

in Bisnes by

Bendera Turkiye (kiri) dan Malaysia – Foto 123RF

LEMBAGA Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) membuka pejabatnya di Istanbul bagi menyediakan peluang ekonomi baharu dan memacu pertumbuhan mantap dalam perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Türkiye.

Pejabat MIDA di Istanbul akan berfungsi sebagai pintu masuk untuk pelabur Türkiye yang bercita-cita mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia dan sebaliknya, kata MIDA dalam satu kenyataan hari ini.

“Para pelabur akan dapat mengakses maklumat terkini mengenai dasar dan peluang pelaburan, perkongsian usaha sama atau kerjasama teknologi,” kata kenyataan itu.

MIDA berkata, banyak peluang perniagaan menanti pelabur Türkiye, terutamanya dalam industri mesin dan peralatan, aeroangkasa, teknologi maklumat dan komunikasi, teknologi digital, pembuatan makanan termasuklah segmen halal.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan pembukaan pejabat MIDA di Istanbul adalah paling tepat pada masanya untuk mengeksploitasi sepenuhnya potensi pelaburan Türkiye yang dipertingkatkan dalam pembuatan dan perkhidmatan termasuk pembuatan termaju, mesin dan peralatan, aeroangkasa dan pelaburan digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, selain membantu MIDA menarik peluang pelaburan baharu ke negara ini, Malaysia juga sedang mencari kerjasama baharu untuk berkembang secara bersama.

Pejabat baharu itu akan membantu meluaskan program jangkauan mereka dengan rakan dagangan Türkiye termasuk negara-negara seperti Rusia, Greece, Cyprus, Azerbaijan, Georgia dan tujuh negara “Stan” di Asia Tengah.

“Pelabur Türkiye yang berminat untuk mencari perkongsian usaha sama atau kerjasama teknologi dengan perniagaan Malaysia boleh mendapatkan maklumat di pejabat ini.” katanya.

MIDA berkata, bagi separuh pertama 2022 Malaysia menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM123.3 bilion (AS$28.0 bilion) dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan melibatkan 1,714 projek. Projek tersebut mampu menjana kira-kira 57,771 peluang pekerjaan di negara ini.

Pelaburan langsung asing kekal sebagai penyumbang utama, yang mewakili 70.9 peratus atau RM87.4 bilion (AS$19.9 bilion), manakala pelaburan daripada sumber domestik menyumbang 29.1 peratus yang berjumlah RM35.9 bilion (AS$8.2 bilion).

“Dengan pejabat baharu MIDA di Istanbul, Türkiye sudah pasti akan menyumbang secara besar-besaran kepada pembangunan sosio-ekonomi dan membawa pertumbuhan baharu ke dalam landskap pelaburan Malaysia,” tambahnya. – Bernama

IBFIM, MyClass mampu lahir ramai pakar kewangan Islam

in Bisnes by

Yusry (kiri) dan Zaharuddin pada Majlis Pertukaran Perjanjian antara IBFIM dan MyClass pada Jumaat.

KUALA LUMPUR – Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama MyClass Technologies Sdn. Bhd (MyClass) sebagai usaha mengukuhkan pembangunan bakat dalam industri kewangan Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, MoA tersebut merupakan antara inisiatif pihaknya untuk memperluas industri berkenaan menerusi pembelajaran dalam talian.

“MoA ini adalah kerjasama antara IBFIM dan MyClass untuk menempatkan program-program IBFIM dalam platform dalam talian MyClass kerana ia ada pengikut yang ramai dan mahu mempelajari sistem kewangan Islam.

“Selain itu Mycourse.my juga merupakan platform seiring wawasan kami dan perlu menyokong untuk memastikan ilmu kewangan Islam dapat disampaikan kepada lebih ramai orang yang mahu belajar sistem berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pertukaran Perjanjian antara IBFIM dan MyClass pada Jumaat.

Dalam pada itu Yusry menjelaskan, IBFIM melalui platform e-pembelajaran MyClass iaitu Mycourse.my menawarkan 10 program berkaitan kewangan Islam yang boleh diakses tanpa had selepas pendaftaran.

Jumlah itu katanya adalah sebagai permulaan dan akan ditambah mengikut permintaan pada masa akan datang.

“Kita sasarkan bukan sahaja golongan profesional malah terbuka kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk mendapatkan pengetahuan kewangan Islam.

“Program-program IBFIM yang disediakan dalam Mycourse.my mudah diikuti dan yang penting, ilmu sampai kepada pelajar dengan mudah,” katanya.

Sementara itu pengasas MyClass Technologies Sdn Bhd, Dr Zaharuddin Abdul Rahman memaklumkan, program IBFIM melalui platform Mycourse.my menggunakan sistem ‘self based learning’ bagi memudahkan penuntut belajar mengikut waktu yang sesuai.

“Penuntut mahu belajar dalam talian (online) tetapi jadual yang ditetapkan tidak sesuai dengan keadaan mereka pada ketika itu, jadi mereka terlepas (pembelajaran).

“Oleh itu kami jadikan platform e-pembelajaran ini bebas dan boleh diakses pada bila-bila masa, sesuai dengan kelapangan penuntut,” jelasnya.

Mahu cepat alasan langgar lampu merah

in Edisi Pahang by

Wan Mohd Zahari memantau Ops Lampu Isyarat Merah di sekitar jalan Taman Tas di sini pada Jumaat.Wan Mohd ZahariPolis trafik cawangan IPD Kuantan mengeluarkan saman kepada pemandu yang didapati melanggar peraturan lalu lintas.

KUANTAN – Melanggar lampu isyarat merah antara kesalahan paling banyak dikesan dalam Ops Lampu Isyarat Merah yang diadakan di lapan lokasi di sekitar daerah ini.

Dalam operasi yang bermula pada 15 September dan berakhir pada Jumaat, sebanyak 941 notis saman telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 767 saman dikeluarkan pemandu kenderaan dan penunggang motosikal atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah.

**media[1928293]**

“Antara alasan yang diberikan pemandu atau penunggang melakukan kesalahan itu ialah ingin cepat sampai ke lokasi yang dituju.

“Pemandu dan penumpang yang paling ramai kita kerana melakukan kesalahan ini (langgar lampu isyarat) di sekitar Jalan Lim Hoe Lek dalam bandaraya Kuantan,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar selepas berakhirnya Ops Lampu Isyarat Merah di Taman Tas di sini pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, operasi yang diadakan bagi mengurangkan kadar kemalangan yang berlaku di lokasi lampu isyarat.

Tambahnya, berdasarkan statistik 1 Januari hingga Jumaat, sebanyak 49 kes kemalangan direkodkan sepanjang Januari sehingga September tahun ini melibatkan satu kemalangan maut manakala hanya 29 kes direkodkan pada tahun lalu bagi tempoh yang sama.

“Walaupun satu kes kemalangan maut, operasi ini akan terus diadakan dari semasa ke semasa,” tegas Wan Mohd Zahari.

**media[1928291]**

Selain itu, beliau memaklumkan operasi ini lebih kepada untuk mendidik pemandu dan penunggang supaya mematuhi peraturan lalu lintas terutama tidak melanggar lampu isyarat merah apabila berada di lokasi itu.

Sehubungan itu, Wan Mohd Zahari menasihati pemandu dan penunggang mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Kita pohon kepada pemandu dan penunggang motosikal supaya berhati-hati kerana setiap tindakan tanduk dalam pemerhatian kamera litar tertutup (CCTV).

“Jadi, pengguna jalan raya lain perlu diutamakan dalam memastikan keselamatan apabila berada di jalan raya,” ujar beliau lagi.

Hutang mungkin punca lelaki diculik di KL

in Berita Semasa by
BERITA SEMASA 30 SEPTEMBER 2022

Polis sedang mengesan individu terlibat dalam kejadian culik seorang ahli perniagaan di Jalan Pandan Indah, Ampang, Kuala Lumpur, dipercayai akibat masalah hutang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ahli perniagaan itu dilapor ditarik sekumpulan lelaki menaiki kenderaan MPV putih ketika sedang berjalan bersendirian selepas makan di sebuah restoran di kawasan itu.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas kejadian, lelaki berusia 38 tahun itu dilepaskan di Klang, dan hadir ke IPD Ampang Jaya untuk membuat laporan.

Artikel: https://bit.ly/3E5A6pb

#BeritaSemasa #Viral #culik #pandanindah

1 2 3 161
Kembali UTAMA