Inovasi kertas batang pisang rangkul juara iCan 2022, Kanada

in Edisi Terengganu by
Gambar atas: Proses mengeringkan bahan dari batang pisang untuk dijadikan kertas. Gambar bawah: Kertas yang terhasil setelah dikeringkan boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk.
Lima pelajar Tingkatan Tiga SMK Tengku Mahmud mengharumkan nama negara apabila muncul juara dalam pertandingan reka cipta inovasi antarabangsa di Kanada (iCan 2022) baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud di Besut muncul juara menerusi pertandingan reka cipta inovasi antarabangsa di Kanada (iCan 2022) baru-baru ini.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Tengku Mahmud, Mohd Syamri Abd Razak berkata, pasukan sekolah yang diwakili lima pelajar Tingkatan Tiga itu memenangi dua kategori iaitu Anugerah Khas Antarabangsa oleh Persatuan Reka Cipta Harta Intelek Dunia (WIIPA) dan Anugerah Pencipta Muda Terbaik.

Menurutnya, lima pelajar iaitu Alya Nadhirah Azman, Nur Damia Qistina Sirajul Fikri, Nurul Izzah Zailani, Wan Azizan Haziq Wan Aziz dan Muhammad Haziq Badli Sanusi mengetengahkan inovasi menghasilkan kertas daripada batang pisang menggantikan penggunaan kayu.

“Inovasi ini akan membantu mengurangkan aktiviti penebangan hutan sekali gus dapat mengelak berlakunya pencemaran alam sekitar serta menyelamatkan bumi dari kesan pemanasan global yang semakin kritikal.

“Selain itu, inovasi yang dihasilkan dapat mengelak pembaziran kerana batang pisang yang biasanya sering dibuang selepas buahnya dituai dapat dimanfaatkan selain meningkatkan pendapatan pekebun,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Syamri berkata, pasukan pelajar yang dibantu enam guru pembimbing diketuai oleh Taksiah Yaakob itu menerima sijil penghargaan dan medal kemenangan.

Katanya, penghargaan itu melonjakkan lagi motivasi mereka untuk terus menghasilkan pelbagai inovasi baharu bermanfaat untuk masyarakat dunia.

Mengulas mengenai inovasi yang dihasilkan, Mohd Syamri berkata, inovasi penghasilan kertas itu menggunakan tiga bahagian batang pisang yang berbeza memandangkan setiap bahagian mempunyai serat yang berbeza.

**media[1896316]**

“Untuk projek ini, bahagian luar batang pisang menghasilkan kertas yang lebih keras dan sesuai untuk dibuat patung wayang kulit bagi menggantikan penggunaan kulit binatang manakala bahagian lain pula menghasilkan kertas yang lebih nipis dan licin.

“Kertas yang dihasilkan secara tradisional ini memerlukan beberapa proses iaitu pemotongan selama sejam, diikuti proses merebus selama sejam, menapis (dua minit) dan menjemurnya terus di bawah matahari selama empat jam,” ujar beliau.

Katanya, selain dimanfaatkan sebagai kertas, terdapat produk yang boleh dihasilkan antaranya pemegang kunci, bingkai gambar dan patung untuk wayang kulit.

“Banyak produk yang boleh dihasilkan mengikut kesesuaian tekstur kertas yang terhasil. Kita yakin inovasi ini boleh dikomersialkan lagi untuk kegunaan secara lebih meluas pada masa depan sekali gus mengurangkan penggunaan daripada kayu pokok.

“Pihak sekolah juga sedia berkolaborasi dengan mana-mana pihak yang mahu mengkomersialkan hasil inovasi itu untuk kegunaan industri,” jelas Mohd Syamri.