Johor umum Ahad cuti khas peristiwa

in Nasional by
JDT muncul juara Piala FA 2022 selepas menewaskan Terengganu FC, 3-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu. – Foto Facebook Menteri Besar Johor

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mengisytiharkan Ahad sebagai cuti khas peristiwa sempena kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai perlawanan akhir Piala FA Malaysia 2022 menentang Terengganu FC (TFC) pada Sabtu.

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, pemberian cuti khas itu dibuat sebagai tanda meraikan dan memberikan penghargaan kepada semua penyokong yang memberikan sepenuh komitmen serta sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan JDT dalam mengharumkan nama Johor.

“Menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dengan ini kerajaan Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad sebagai hari cuti khas peristiwa bagi seluruh rakyat negeri Johor sempena kejayaan pasukan JDT.

“Keputusan pengisytiharan cuti khas peristiwa ini adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, JDT menewaskan TFC dengan jaringan 3-1.