Penyelewengan dana: Masyarakat India perlu desak tubuh suruhanjaya

in Politik by
Anwar ketika hadir pada program bersama masyarakat India di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

SHAH ALAM – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kaum India di negara ini tidak terus berdiam diri dalam skandal penyelewengan melibatkan dana penting kepada komuniti tersebut.

Anwar menegaskan, masyarakat India seharusnya berani untuk mendesak kerajaan mengadakan audit forensik terhadap penyelewengan dana melibatkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), Maika Holdings Berhad (Maika) dan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED).

Beliau berkata, desakan tersebut perlu dibuat segera bagi memastikan tiada lagi isu kepinggiran berlaku kepada kaum berkenaan pada masa akan datang.

“Penyelewengan (dalam Mitra, Maika dan MIED) banyak berlaku dan telah terbukti serta dibongkar. (Oleh itu) Perlu ada audit forensik untuk mendedahkan selain (wujudkan) suruhanjaya kerana masyarakat India mengeluh tentang pengabaian, kemiskinan dan pendidikan komuniti mereka.

“Peruntukan telah diberikan tetapi tidak dikawal dengan baik, termasuk ketika saya jadi Menteri Kewangan dahulu. Orang India semuanya mesti tuntut sama ada menubuhkan suruhanjaya atau audit forensik untuk menyiasat perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas program bersama masyarakat India di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Sabtu.

Sementara itu Naib Presiden PKR, K Saraswaty ketika berucap pada program berkenaan bangkit mempersoalkan MIC mengenai dana kerajaan kepada MIED dan Universiti AIMST yang didakwa digunakan bagi tujuan membantu pelajar India miskin di negara ini.

“Saya telah beri ucapan ketika Mesyuarat Agung MIC tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri telah buat pengumuman peruntukkan tahunan untuk Universiti AlMST dinaikkan daripada RIM20 juta kepada RM25 juta. Soalan saya, apakah yang telah dilakukan oleh pengurusan AlMST dan MIC terhadap dana-dana tersebut?

“Dana (keseluruhan) sebanyak RM45 juta, RM20 juta pada 2020 dan RM25 juta untuk 2021. MIC kata saya buat kenyataan palsu, tetapi soalan saya, kalau PM sendiri sudah umum ia adalah ‘annual payment’ mestilah tahun sebelum itu juga ada.

“Jadi apakah ‘breakdown’ oleh MIC untuk bantu pelajar miskin kita dengan peruntukkan berkenan,” soalnya.