Smart Kejiranan elak masalah sosial

in Edisi Kelantan by
Rosnazli ( dua dari kanan) bergotong-royong mengangkut plastik tanaman untuk menanam pelbagai sayuran pada Program Local Agenda 21, Program Kebun Kejiranan/Komuniti di Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian pada Sabtu.

KUBANG KERIAN – Smart Kejiranan akan diperkasakan semula bagi mengelakkan masalah sosial di persekitaran flat dan pangsapuri di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Rosnazli Amin berkata, bagaimanapun sehingga kini masalah itu tidak serius selepas kerjasama polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Beliau memberitahu, antara usaha PBT itu ialah mencari pemilik rumah dan memberi notis supaya penyelenggaraan dilakukan mengikut syarat ditetapkan.

“Kita kini sedang berusaha melakukan pelbagai aktiviti termasuk pelaksanaan program kebun kejiranan bagi memastikan keceriaan dan hubungan penduduk lebih erat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Program Local Agenda 21, Program Kebun Kejiranan/Komuniti di Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian di sini pada Sabtu.

Menurut Rosnazli, sehingga kini, kawasan di bawah pentadbiran MPKB-BRI sudah bebas flat atau pangsapuri terbiar kerana dalam proses pembaikan atau menjadi hak milik syarikat tertentu untuk dibangunkan.

Sementara itu katanya, Program Kebun Kejiranan/Komuniti di Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian melibatkan 240 isi rumah yang bergotong-royong membersihkan kawasan untuk menanam pelbagai jenis sayur di pinggir kawasan pangsapuri itu.

“Kita turut mengagihkan sebanyak 350 plastik baja kepada penduduk dan berharap projek tanaman ini berjaya,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan masyarakat setempat elak pembuangan sampah ke dalam longkang yang menjadi antara punca banjir kilat.

Tambah beliau, walaupun tugas menyelenggara sampah melibatkan PBT namun wajar penduduk bekerjasama menjaga persekitaran mereka.