Terengganu sasar tingkatkan SSL ayam

in Edisi Terengganu by
Dr Azman Ibrahim

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu memajukan industri ternakan ayam pedaging untuk meningkatkan tahap pengeluarannya dalam negeri tersebut.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha itu penting kerana ternakan ayam di negeri itu belum mencapai 90 peratus.

“Tahap sara diri (SSL) ayam yang direkodkan di negeri ini pada tahun lepas hanya sekadar 64.31 peratus iaitu pengeluaran sebanyak 31,596 tan metrik dengan anggaran nilai RM252 juta.

“Jadi, masih ada ruang dan peluang dalam industri ayam pedaging sebanyak 35.7 peratus untuk memenuhi SSL dalam negeri Terengganu dan kita sedang bergerak ke arah itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Sabtu.

Menurut Dr Azman, terdapat 132 ladang ternakan ayam berdaftar di Terengganu iaitu melibatkan 114 ladang ayam terbuka, 16 ladang ayam tertutup manakala dua lagi menggunakan konsep ladang ayam gabungan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 117 penternak menternak ayam pedaging secara ladang kontrak dan 15 penternak adalah persendirian.

Katanya, setakat ini kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sudah menyalurkan RM7.3 juta insentif kepada penternak ayam berdaftar di Terengganu dalam berhadapan isu kenaikan harga makanan ternakan.

“Kerajaan negeri melalui JPV sedang dalam rangka penyusunan dan kemaskini beberapa langkah penting melalui penguatkuasaan Enakmen Perladangan Unggas (EPU) 2015.

“Langkah ini bagi mengangkat martabat industri penternakan ayam ke tahap lebih baik dan menepati amalan perladangan baik kerana ayam merupakan salah satu sumber protein utama dalam negara,” katanya.