Zuraida dedah tiga ahli Parlimen, dua ADUN akan sertai PBM

in Politik by
Zuraida (tengah) menerima 4,500 borang permohonan keahlian baharu PBM di Ibu Pejabat PBM di Taman Daya, Johor Bahru pada Sabtu.
Zuraida (tengah) menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Ibu Pejabat PBM Johor di Taman Daya, Johor Bahru pada Sabtu.

JOHOR BAHRU – Tiga ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu didedahkan Presiden Pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin yang memaklumkan lima wakil rakyat berkenaan akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN yang akan ditandingi parti itu pada PRU15.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Ampang itu enggan mendedahkan siapa lima wakil rakyat berkenaan pada ketika ini.

“Insya-ALLAH, saya sudah katakan PBM akan bertanding tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN. Kesemua kerusi itu adalah melibatkan calon ‘incumbent’.

“Ketika ini PBM ada empat ahli Parlimen iaitu Ampang (Zuraida), Tebrau (Steven Choong Shiau Yoon), Julau (Larry Sng Wei Shien) dan Silam (Datuk Mohamaddin Ketapi). Ini bermakna ada tiga lagi (ahli Parlimen) baharu akan sertai PBM.

“Begitu juga dengan ADUN, buat masa ini PBM ada lima ADUN iaitu tiga dari Perak dan dua dari Selangor. Jadi akan ada dua lagi ADUN bakal sertai PBM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ibu Pejabat PBM Johor di Taman Daya, di sini pada Sabtu.

**media[1905677]**

Turut hadir, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon yang juga Naib Presiden Kanan PBM dan Pengerusi PBM Johor.

Dalam perkembangan lain, Zuraida memberitahu, PBM kini memiliki lebih 40,000 ahli dari 177 bahagian yang telah didaftarkan setakat ini.

“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia ini dikenali dengan identiti bangsa Malaysia dan bukan lagi mengikut latar belakang kaum mereka, dan ini adalah keunikan parti ini yang diterajui oleh masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata, PBM juga mempunyai kepimpinan daripada golongan tua dan muda sekali gus menjadi faktor yang menguatkan parti tersebut.

“Walaupun masih baharu tetapi lebih kuat daripada beberapa parti politik lain sedia ada,” jelasnya.