367 SJKT hadapi isu sekolah kurang murid

in Nasional by
Gambar hiasan. Gambar kecil: Hang Soon

Kementerian Pendidikan menghadapi cabaran besar dalam menangani isu sekolah kurang murid dalam pelaksanaan agenda transformasi pendidikan nasional di Malaysia sejak sekian lama.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon baru-baru ini mendedahkan bahawa sebanyak 3,017 sekolah rendah yang beroperasi di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai sekolah kurang murid.

Sekolah kurang murid adalah memiliki jumlah murid yang kurang daripada 150 orang pada satu-satu masa.

Hang Soon turut berkata, jumlah tersebut melibatkan 2,034 Sekolah Kebangsaan (SK), 616 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 367 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Secara keseluruhannya, di negara ini terdapat kira-kira 5,877 SK dan SJKC (1,302 ) serta SJKT (527).

Akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban juga melaporkan sejumlah 367 SJKT daripada keseluruhan 527 dilanda masalah sekolah kurang murid yang sememangnya isu kritikal wajar diberi perhatian serius oleh masyarakat India tempatan.

Dengan ini, didapati sebanyak 160 SJKT sahaja yang beroperasi sebagai sekolah penuh murid sejak kebelakangan ini.

Jumlah itu juga memaparkan hakikat bahawa kira-kira 70 peratus daripada jumlah 527 SJKT merupakan sekolah kurang murid.

Malaysia Nanban meluahkan kebimbangan isu peningkatan sekolah kurang murid itu kemungkinan besar mengundang kepada tindakan penutupan sekolah vernakular Tamil secara besar-besaran.

Sistem sekolah vernakular Tamil mendukung sejarah tersendiri dengan menjadi medium memupuk integriti di antara bangsa dan kaum bermula era kemerdekaan negara.

Malaysia Nanban mengesyorkan Kementerian Pendidikan dan masyarakat India harus mengambil tindakan sewajarnya dalam mengenal pasti faktor sebenar di peringkat akar umbi untuk memperoleh solusi terbaik dalam menangani isu sekolah kurang murid itu.

Jelas Malaysia Nanban lagi, isu sekolah kurang murid melibatkan sekolah Tamil dipercayai dipengaruhi faktor-faktor seumpama perubahan besar dalam sosio-ekonomi, kadar populasi kaum India, peredaran zaman dan sebagainya.

Kurang murid

Sementara itu, akhbar harian Tamil, Makkal Osai juga menyatakan isu sekolah kurang murid itu menyebabkan akan berlaku situasi penggabungan SJKT yang bakal menyusutkan jumlah keseluruhan sekolah Tamil di Malaysia.

Tindakan penggabungan sekolah kurang murid secara langsungnya mewujudkan masalah kehilangan pekerjaan dalam kalangan guru besar dan guru di sekolah Tamil.

Senario itu mengakibatkan pada sedekad akan datang keperluan guru-guru Tamil akan berkurang secara drastik dan survival sekolah Tamil tidak terjamin.

Makkal Osai berkata, pelan penggabungan sekolah kurang murid SJKT agak kurang sesuai kerana faktor kekuatan kewangan sekolah- sekolah berkenaan.

Sekolah Tamil kurang mampu untuk melaksanakan penggabungan tersebut sebabnya kos yang cukup tinggi.

Oleh sebab itu, Makkal Osai mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mungkin dapat menggabungkan pihak pengurusan sekolah-sekolah berkenaan.

Dengan itu, pengurusan sekolah akan digabungkan dan sekolah-sekolah berkenaan masih boleh beroperasi di lokasi yang sama.

Bagaimanapun Makkal Osai mendakwa penggabungan sekolah kurang murid masih akan menuyusutkan jumlah sekolah Tamil.

Peluang pekerjaan belia India yang ingin menceburi bidang guru bahasa Tamil akan berkurangan disebabkan kekurangan keperluan untuk profesion itu.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor