BN janji tak akan balas dendam jika menang PRU15

in Politik by
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-14 Parti Makkal Sakti Malaysia di WTCKL. – Foto Sinar Harian/ ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – BN berjanji tidak akan membalas dendam kepada mana-mana pihak sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana mereka tidak mempunyai sifat dendam terhadap mana-mana pihak.

“Pada 2018, pertama kali BN kehilangan kerajaan. Saya yakin PRU15, BN akan berkuasa semula secara dominan dalam bidang politik di negara ini.

“Saya berjanji disaksikan ALLAH SWT dan para malaikat kerana cukuplah negara kita negara bertamadun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-14 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, membalas dendam tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

“Membalas dendam tidak menguntungkan sesiapa tetapi yakinlah biar rakyat yang menghukum mereka yang membalas dendam itu.

“Jika PRU15 pemimpin-pemimpin itu ditolak, ia daripada rakyat kepada orang bersifat dendam itu,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut berjanji akan memperkenalkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia 2.0 jika BN menang PRU15.

“Jika bossku (Datuk Seri Najib Tun Razak) mempunyai Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang kini sudah tidak ada,

BN berjanji Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia 2.0 akan diadakan apabila kita menang nanti.

“Kalau dahulu bossku memberikan RM100 juta, saya berazam untuk memberikan RM500 juta,” ujarnya.