Kerajaan pertimbang dua inisiatif bantu pekebun kecil getah

in Nasional by
Mahdzir (dua dari kanan) menyerahkan replika cek kepada salah seorang ikon belia di program Pekebun Kecil Makmur RISDA peringkat Kedah di sini pada Ahad.

PADANG TERAP – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB ) sedang merangka dua cadangan untuk diusulkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi manfaat pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, syor tersebut ialah sama ada menaikkan harga lantai getah sekerap daripada harga semasa RM2.50 sekilogram atau melanjutkan tempoh Bantuan Musim Tengkujuh daripada tiga bulan kepada enam bulan.

Katanya, satu jawatankuasa kabinet telah diwujudkan melibatkan tiga kementerian iaitu KPLB, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan Kementerian Kewangan untuk memperhalusi syor tersebut.

“Jadi saya akan bawa syor ini kepada Perdana Menteri setelah berbincang dengan KPPK, saya mewakili KPLB yang saya cakap hari ini sebab RISDA ada di bawah KPLB, satu lagi kementerian yang berkaitan ialah Kementerian Kewangan.

“Ketiga-tiga kementerian terbabit akan mengadakan perbincangan bagi mencapai satu kaedah terbaik untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang terjejas dengan harga getah yang rendah,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan program Pekebun Kecil Makmur RISDA peringkat Kedah di sini pada Ahad.

Menurutnya, walaupun kementerian mengemukakan dua syor, tetapi hanya satu yang terbaik akan dipilih memandangkan kedua-duanya melibatkan perbelanjaan yang besar oleh kerajaan.

“Contohnya Bantuan Musim Tengkujuh, kalau tiga bulan kos dia RM200 juta, kalau nak panjangkan jadi enam bulan, maknanya tambah lagi RM200 juta dan jadi RM400 juta.

“Harga lantai getah sekerap pula sekarang RM2.50 sekilogram, kalau nak naikkan ke RM3 ke RM3.10, setiap 10 sen itu kos dia RM100 juta, kalau naik 50 sen maknanya akan jadi RM500 juta, tiap-tiap tahun, jadi kerajaan boleh timbanglah nanti tengok yang mana yang terbaik,” katanya.

Mahdzir menambah, pihaknya akan mengadakan perbincangan berkaitan syor itu dengan KPPK pada minggu ini.

“Selepas itu ia akan dibawa ke Kementerian Kewangan dan seterusnya kepada Perdana Menteri yang akan menentukan tindakan susulan yang perlu dilakukan termasuk menyediakan kertas kabinet,” katanya.