MPN cadang pertimbang moratorium khas untuk PMKS

in Nasional by
Kenyataan yang dimuat naik Muhyiddin di laman Facebooknya.

SHAH ALAM – Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan moratorium khas untuk sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata, ini kerana sektor berkenaan masih belum pulih sepenuhnya dan ditambah pula dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pengusaha PMKS akan menanggung beban hutang yang lebih tinggi selain mengambil masa lebih lama untuk pulih.

“Sektor PMKS penting kerana ia mewakili hampir 96 peratus kegiatan ekonomi negara.

“Ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan,” katanya dalam catatan di laman Facebook pada Ahad.

Muhyiddin berkata, hampir 50 peratus tenaga kerja di Malaysia bekerja dalam sektor berkenaan.

“Sepertimana pelaksanaan moratorium sebelum ini, bank-bank di negara kita tidak mengalami kerugian.

“Jadi apalah salahnya kerajaan sekali lagi berbincang dengan institusi-institusi kewangan supaya memperkenalkan moratorium khas untuk PMKS.

“Saya harap cadangan ini diberikan perhatian serius oleh kerajaan,” jelas beliau.