PRU15: Amanah sasar tanding 40 kerusi

in Politik by
Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Salahuddin (dua kiri) diperhati Aminolhuda (kiri) pada Program Ramah Mesra Bersama NGO Melayu di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, pada Ahad.

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) menyasarkan untuk bertanding di 40 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, senarai calon parti tersebut kini di peringkat akhir semakan dan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada hujung bulan ini.

Beliau yang juga Pengerusi Penilaian dan Pemilihan Calon Amanah Nasional memberitahu, calon-calon berkenaan terdiri daripada wanita, pemuda dan bahagian tetapi belum ditentukan berapa peratus daripada mereka akan mewakili sayap masing-masing.

“Setakat ini jawatankuasa yang saya pengerusikan berkenaan calon PRU15 sudah bermesyuarat dua kali baru-baru ini untuk menapis dan menilai sebelum akhirnya akan mengemukakan senarai calon yang layak untuk bertanding kepada kepimpinan tertinggi untuk buat keputusan.

“Prosesnya kita sedang menerima pencalonan daripada kawasan-kawasan, bahagian-bahagian dan sayap-sayap wanita dan pemuda. Saya sedang teliti perkara ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra Bersama NGO-NGO Melayu di Bandar Baru Uda di sini pada Ahad.

**media[1906516]**

Turut hadir Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Pemimpin Pesara Guru, Datuk Jemale Paiman.

Salahuddin berkata, pemilihan senarai calon Amanah akan meneliti semua aspek dan latar belakang mereka termasuk biodata serta trak rekod manakala bagi yang sudah menjadi wakil rakyat, rekod pencapaian mereka semasa berkhidmat akan diteliti.

Menurutnya, Amanah menyasarkan bertanding 40 kerusi pada PRU15 berbanding 27 kerusi pada PRU14 dan akan meletak calon di semua kawasan sama ada di bandar dan kawasan kampung.

“Kita tidak memilih kawasan tertentu sahaja, Amanah bertanding di semua kawasan. Untuk masa depan Amanah kita mesti bertanding di semua kawasan, ada kawasan majoriti dan kawasan campuran, kita akan letakkan calon,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan kekal bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada PRU15, beliau berkata, keputusan tersebut terpulang kepada pucuk pimpinan parti.

“Setakat ini saya masih berusaha sebaik mungkin menyelesaikan isu-isu di Parlimen Pulai ini,” katanya.

Pada PRU14, Timbalan Pengerusi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed buat pertama kali kalah di Parlimen Pulai dalam pertembungan empat penjuru yang menyaksikan Salahuddin menang dengan majoriti 28,924 undi.