Saravanan sedia pertahan Parlimen Tapah

in Politik by
Saravanan (dua dari kanan) ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Rumah Ibadat Hindu Negeri Perak di Ipoh.

IPOH – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Tapah yang dimenanginya sejak tiga penggal lalu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Menurutnya, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada keputusan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan menentukan calon bagi setiap kerusi.

“Selagi orang Tapah mahu, saya akan bertanding itu pun dengan persetujuan pengerusi parti. Jika diminta saya pertahankan, saya akan pertahankannya.

“Setakat ini, siapa atau bertanding di mana, pengerusi yang akan tentukan, saya sendiri pun tidak tahu selagi tidak mendapat watikah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Rumah Ibadat Hindu Negeri Perak di sini pada Ahad.

Ditanya mengenai pertukaran kerusi Parlimen Pulai dan Tapah yang dikemukakan UMNO Johor, Isnin lalu, Saravanan berkata, MIC telah bertegas partinya tidak berminat dengan cadangan Timbalan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed itu.

“Presiden, Tan Sri SA Vigneswaran sudah umumkan sebelum ini bahawa MIC tidak berminat dan kita perlu ada kematangan politik kerana yang beri kerusi adalah hak mutlak pengerusi BN, bukan saya atau mana-mana pihak.

“Jadi saya pelik ramai tidak faham, bukan kita suka hati beri kerusi, itu adalah hak mutlak pengerusi, beliau akan tentukan,” katanya.

Media melaporkan MIC diminta melaksanakan sistem ‘barter trade’ atau pertukaran sekiranya parti berkenaan mahu bertanding di Parlimen Pulai pada PRU15.

Menurut Nur Jazlan, MIC perlu berkorban dengan memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di Tapah yang majoriti pengundi Melayu di kerusi berkenaan.

Sementara itu, Vigneswaran tidak mahu isu ditimbulkan itu berterusan menjadi pertikaian berikutan MIC tidak pernah minta mahu pun berminat untuk bertanding di Parlimen Pulai.

Katanya, tidak ada sebarang perbincangan tentang kerusi tersebut walaupun menukarnya dengan MCA mahu pun UMNO dengan MIC.